Latest News

Wednesday 11 February 2015

Kedah Catat Peningkatan Kes Demam Denggi




Kedah mencatat peningkatan 40 peratus kes demam denggi atau 125 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 7 Feb lepas berbanding 89 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail bagaimanapun berkata setakat ini tiada kes kematian akibat demam denggi direkodkan.

Katanya sembilan daerah yang menunjukkan peningkatan ialah Kubang Pasu mencatatkan peningkatan 225 peratus iaitu daripada empat kes bagi tempoh Januari hingga 7 Feb tahun lepas kepada 13 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Kedua tertinggi ialah Kota Setar yang mencatatkan peningkatan 136 peratus dengan 26 kes berbanding 11 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Bagi tempoh yang sama tahun ini, Kulim mencatatkan 29 kes diikuti Baling (10 kes), Padang Terap dan Yan masing-masing sembilan kes, Sik (tiga kes) dan Bandar Baharu (dua kes)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norhizan berkata terdapat dua lokaliti wabak semasa iaitu satu lokaliti wabak tak terkawal di Kampung Raja, Guar Cempedak dan satu lokaliti wabak baharu dilaporkan di Taman Seri Bersatu di Baling.

"Sehingga 7 Feb lepas, kumulatif lokaliti wabak yang dicatatkan adalah tiga berbanding satu lokaliti seluruh negeri yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh itu, pihaknya telah menjalankan langkah pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 40,531 premis dan mendapati terdapat 636 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

Katanya pihaknya telah mengeluarkan 271 kompaun berjumlah RM130,300 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 31 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

Beliau berkata pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 43,904 premis di seluruh Kedah dan sebanyak 24,111 premis telah diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

Katanya orang ramai juga digalak menggunakan semburan aerosol semasa waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu waktu pagi dan senja dan dinasihat agar lebih berwaspada terhadap penyakit demam denggi.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Catat Peningkatan Kes Demam Denggi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top