Latest News

Wednesday 11 February 2015

Pembangunan Lestari , Langkah2 Yang Perlu Diambil JKKK - DSMM



Ucapan YAB Menteri Besar di Majlis Penyerahan Elaun JKKK Parlimen Jerlun


Pada hari ini saya ingin berkongsi pandangan dengan semua JKKK mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengekalkan atau melanjutkan pembangunan yang telah kita capai atau disebut juga pembangunan lestari.

Dari sudut ekonomi, pembangunan lestari telah menjadi strategi penting dan diterima pakai oleh kebanyakan negara. Pembangunan lestari merupakan strategi pembangunan yang dapat menguruskan semua aset iaitu sumber asli, sumber manusia, kewangan dan aset fizikal untuk tujuan meningkatkan kekayaan dan kehidupan untuk jangkamasa panjang.

​Matlamatnya ialah untuk menolak semua polisi dan amalan yang boleh menghakis asas-asas produktiviti sesebuah negara seperti sumber asli dan mewariskan generasi akan datang dengan risiko kemiskinan yang lebih kritikal.

Pencergasan Semula Sektor Pertanian

​Sebagaimana yang disebut dalam Laporan Pembangunan Dunia, sektor pertanian masih terus menjadi instrumen penting dalam pembangunan di negara-negara sedang membangun. Pertumbuhan dalam sektor pertanian telah memberikan kesan yang besar terhadap kewujudan lebihan makanan dan pengurangan kadar kemiskinan.

Di Malaysia, jumlah penduduk negara yang semakin bertambah daripada 23.4 juta orang dalam tahun 2000, meningkat kepada 26.13 juta pada tahun 2005 dan bertambah kepada 28 juta orang pada tahun 2010. Tahun ini 2015 penuduk Malaysia dijangka bertambah menjadi 30 juta. Ini telah mengakibatkan jumlah import makanan terus meningkat setiap tahun.



Sektor ini juga telah memberikan peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada penduduk di negara ini.

Sungguhpun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing, ianya masih bedepan dengan isu-isu kritikal dan cabaran-cabaran yang perlu diatasi. Antaranya ialah saiz ladang yang berskala kecil dan tidak ekonomik, kekurangan benih di sektor kecil tertentu, kekurangan tenaga buruh yang menyebabkan pergantungan kepada pekerja asing, kekurangan pelaburan sektor swasta dalam sektor makanan dan liberalisasi perdagangan di bawah World Trade Organization (WTO) dan ASEAN Free Trade Area (AFTA) menyebabkan hasil pertanian negara menghadapi persaingan dengan negara-negara lain.

Cabaran yang lebih kritikal ialah bagaimana untuk mengekalkan pembangunan pertanian dan desa dari segi dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk jangka panjang. Apa juga strategi yang akan diambil untuk melaksanakan pembangunan desa dan pertanian yang lestari perlu pula menimbangkan faktor penggunaan sumber yang tidak melebihi keupayaan penjanaan semula sumber tersebut.

​Misalnya projek pertanian tidak harus menghasilkan bencana tanah runtuh, hakisan tanah, pencemaran alam sekitar, sisa kumbahan dan penggunaan baja dan racun rumpai melebihi kadar optimumnya. Projek pengairan tidak harus menyebabkan kemusnahan tanah serta projek penternakan tidak menyebabkan berlakunya ‘lebih ragut dari padang ragutan’.

Selain itu, projek pembangunan pengairan juga tidak seharusnya menyebabkan degradasi alam sekitar yang boleh memusnahkan asas sumber semulajadi seperti kepupusan spesis, pemusnahan habitat, kehilangan kepelbagaian biologi dan kemusnahan warisan budaya dan sejarah.

Oleh yang demikian saya menyeru semua pihak termasuk JKKKbersama-sama kerajaan untuk mencergaskan sektor pertanian yang menjadi nadi pembangunan negara dan dalam masa yang sama mengatasi isu-isu dan cabaran yang saya sebutkan tadi.

Melahirkan Modal Insan Berkualiti

​Hari ini pengetahuan dilihat sebagai salah satu aset yang amat bernilai dalam usaha untuk kekal bertahan dalam sesuatu persekitaran. Sumbangan pengetahuan terhadap pertumbuhan ekonomi dan kekayaan sesebuah negara telah diakui semenjak penemuan teknologi baru yang telah membawa kepada Revolusi Industri dalam di abad ke-18 lagi. Pengetahuan dan teknologi yang sentiasa berkembang dan sentiasa berubah mengikut keadaan.

Transisi ini juga telah meningkatkan permintaan kepada pekerja yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi industri yang berintensifkan pengetahuan. Oleh yang demikian bagi memenuhi ciri-ciri ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan mewujudkan pembangunan lestari baik bandar mahupun di luar bandar aspek pendidikan dan latihan perlulah diuruskan dengan efisien untuk menghasilkan pekerja peringkat tinggi, berpengetahuan dan berkemahiran terutamanya yang berkait dengan teknologi maklumat dan komunikasi. Selain itu pasaran kerja hari ini turut menuntut perubahan paradigma dalam pelaburan modal insan seperti pendidikan berterusan dan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran.

Negara kita sedang memasuki era pasca-industri yang menuntut perubahan kepada perubahan sektor sumber manusia melalui pelaburan modal insan. Dalam era pasca-industri, modal insan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Keupayaan pengeluaran amat ditentukan oleh pekerja yang berpengetahuan, inovatif dan kreatif. Dalam Islam sendiri telah menyatakan dengan jelas keutamaan ilmu yang wajib dituntut oleh lelaki dan wanita.

​Malah kekuatan tamadun Islam pada masa lalu bertunjangkan kepada penerokaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Para ilmuan dan ulama Islam menguasai pelbagai bidang ilmu, merentasi ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Apa yang dimaksudkan dengan ilmu mengurus diri (fardhu ain) ialah bagaimana hati dan nafsu yang menghasilkan niat dan tabiat, membentuk sikap dan mind-set, memandu perlakuan dan tindakan. Manakala ilmu mengurus sistem (fardhu kifayah) berkait rapat bagaimana mengurus rahmat dan nikmat Allah yakni apa juga sumber yang Allah kurniakan di dunia ini baik yang bersifat kebendaan, komoditi dan perkhidmatan. Perkara-perkara ini adalah amanah yang perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya untuk manfaat insan.

Melangkah Ke Hadapan

Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pelan induk ini, saya ingin menyarankan agar setiap JKKK dapat melaksanakan beberapa pendekatan dibawah:

a) Mengeluarkan idea-idea baru dalam usaha memajukan kampung masing-masing.

b) Menggunakan teknologi komunikasi seperti media sosial untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan kumpulan sasaran.

c) Menghadiri lebih banyak kursus dan bengkel bagi menimba pengalaman dalam menjalankan tugasan yang telah diamanahkan.

d) Melibatkan belia dan beliawanis dalam aktiviti kampung supaya golongan ini tidak tersisih daripada pentadbiran kampung selain mempersiapkan mereka sebagai pewaris kepimpinan kampung.

e) Sentiasa merancang program pembangunan Modal Insan dengan lebih efektif dalam melahirkan lebih ramai generasi pewaris yang mempunyai ilmu, kemahiran dan berpengetahuan.

JKKK sebagai intitusi yang paling hampir dengan orang kampong, tuan-tuan lebih mengetahui di mana terdapatnya kelompok-kelompok miskin dan keperluannya yang perlu dibantu.

Saya tidak mahu lagi mendengar mahupun menonton menerusi media akan keperitan hidup kelompok daif dan miskin sedangkan maklumat sedemikian sepatutnya disalurkan terus oleh tuan-tuan kepada pihak berwajib untuk membolehkan langkah-langkah segera diambil untuk membantu mereka.

​Jangan sekali-kali kita menafikan hak mereka kerana agama Islam sendiri memberikan amaran yang cukup berat kepada penafian hak orang-orang susah dan daif.

Sepertimana yang dimaksudkan oleh Surah Al-Ma’un ayat 107 yang bermaksud:

”Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menindas dan berlaku zalim terhadap anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riak dan enggan memberi pertolongan (menolong dengan) barang berguna”..

Oleh yang demikian, saya berharap tugas pemantauan kampung dapat dilaksanakan dengan lebih kerap supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk membantu mereka yang memerlukan. Saya juga berharap sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, kemahiran memimpin dan merancang pembangunan kampung dapat dipertingkatkan.

Pada masa ini terdapat hampir 2,000 JKKK di seluruh negeri Kedah dan saya yakin kewujudan kumpulan ini akan berterusan di masa-masa akan datang. Oleh yang demikian saya merasakan adalah wajar KEDA/KKLW melalui institusi latihan di bawahnya merencanakan program latihan formal untuk melatih golongan pelapis JKKK dalam pelbagai disiplin yang bersesuaian dengan tugasnya sebagai pentadbir dan pengurus kampung.

Penggerak Kemajuan Desa

​Saya mengucapkan tahniah kepada JKKK yang telah memberikan perkhidmatan yang berkesan di peringkat akar umbi sehinggakan telah melahirkan banyak kampung-kampung yang maju dan boleh diketengahkan serta menjadi rujukan kampung lain.

Anugerah Desa Sejahtera 1 Malayasia (ADS1M)

Saya ingin mengambil kesempatan hari ini untuk merakamkan ucapan Tahniah dan Syabas kepada JKKK Kg Pering (Bang Joe ) serta peluruh penuduknya yang telah Berjaya mewakili daerah Kubang Pasu Dan seterusnya Berjaya mewakili Negeri Kedah dalam pertanding Anugerah Desa Sejahtera 1 Malayasia Peringkat Kebangsaan 2014.

Di samping itu juga kampung ini juga telah terpilih sebagai Desa Lestri 2014. Saya difahamkan siling peruntukan untuk sesebuah kampong yang terpilih sebagai Desa Lestari adalah RM Lima Juta. KEDA bersama JKKK Pering sedang menyediakan kertaskerja berkenaan untuk diangkat kepada KKLW. Tahniah dan Syabas sekali lagi kepada JKKK Kg Pering. InsyaAllah tahun ini pasti yang mengikut jejak Kampung Pering.

Akhir sekali, selaras dengan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan masyarakatnya yang kaya dengan nilai-nilai murni menjelang 2020, pembangunan dan kemajuan di luar bandar amnya dan di desa khususnya akan terus dipertingkatkan seiring dengan hasrat tersebut. Ini adalah komitmen kerajaan sepertimana prinsip keterangkuman (inclusiveness) yang termaktub dalam Model Baru Ekonomi. Perkara ini amat penting untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan yang dicapai oleh negara dapat dikongsi oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan lokaliti.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum waramatullahi wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pembangunan Lestari , Langkah2 Yang Perlu Diambil JKKK - DSMM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top