Latest News

Wednesday 4 February 2015

"Kejadian Di Stadium Johor Tidak Gambarkan Budaya Kita," DSMM



Insiden di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Baharu ketika perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang Sabtu lepas, tidak menggambarkan budaya rakyat negara ini, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mukhriz yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata tindakan segelintir penyokong JDT menaikkan kain rentang menunjukkan gambar anjing berpakaian seperti manusia itu dianggap menghina selain tidak sopan.

"Saya sangat tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) baru-baru ini. Membentang kain rentang yang sungguh tidak sopan itu bukan budaya kita, tak tahu dari mana datang (budaya itu). Jika ditengok cara itu, ia memang diusahakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian ganjaran Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014 dan perjumpaan dengan ikon serta penggiat sukan Kedah di sini Isnin.

Mukhriz juga melancarkan Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kedah bawah 19 tahun.

Mukhriz berkata jika mana-mana pihak tidak berpuas hati terhadap seseorang, mereka sepatutnya menggunakan peraturan sedia ada dan tidak beremosi dalam mengambil tindakan.

"Kita tidak boleh beremosi, apa sahaja tindakan yang kita ambil mestilah rasional," katanya sambil menambah bahawa apa yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos tidak menggambarkan budaya yang mahu ditonjolkan dalam sukan.

Beliau berkata KFA akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong bola sepak negeri itu yang terbabit dalam kegiatan yang melanggar peraturan dan undang-undang ketika berada di stadium.

"Jika ada bukti, kita akan mengambil tindakan yang tegas," katanya.

Tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengharamkan penyokong yang terlibat dalam insiden di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dua hari lepas itu daripada memasuki stadium seumur hidup perlu disokong, katanya.

Mukhriz berharap penyokong Kedah mencontohi semangat kesukanan ditunjukkan penyokong pasukan Jepun ketika Piala Dunia tahun lepas, yang mengutip sampah selepas tamat perlawanan membabitkan pasukan mereka.

Pada perlawanan Piala Sumbangsih itu yang membuka tirai saingan Liga Malaysia musim ini, JDT menewaskan Pahang 2-0 menerusi jaringan Marcos Antonio Santos dan Luciano Figueroa.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: "Kejadian Di Stadium Johor Tidak Gambarkan Budaya Kita," DSMM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top