LANGKAWI - Seekor pelanduk putih yang ditangkap seorang pencari madu lebah di pinggir di sini menarik perhatian ramai sejak seminggu lalu.
Rumah Jismani Hasan, 41, yang terletak di lereng bukit di Kampung Buluh Penyumpit, Kuah dekat sini menjadi tumpuan sejak seminggu lalu.
Pelanduk ini yang dinamakannya "Awang Putih' merupakan yang kedua ditemui di Langkawi dalam tempoh 14 tahun, selepas seekor lagi ditemui pada tahun 2001 di Hutan Simpan Bukit Tekuh.
Menceritakan bagaimana beliau menangkap pelanduk itu, Jismani berkata pada mulanya pelanduk atau napuh setinggi kira-kira 17 sentimeter itu ditemuinya sedang minum di anak sungai Telaga Tok Siti, ketika beliau masuk ke dalam hutan berdekatan kampungnya bagi mencari madu.
"Saya pada mulanya rasa seram juga apabila terserempak dengan pelanduk itu sebab hari sudah senja. Sebelum ini saya selalu jumpa pelanduk, tetapi yang biasa berwarna perang," katanya yang juga seorang pengamal perubatan tradisional.
Namun Jismani yang ditemani seorang anaknya bertekad untuk menangkap haiwan itu dengan menggunakan pukat yang kebetulan dibawanya.
"Pada mulanya pelanduk itu berjaya memboloskan diri, namun saya dan anak terus mengejar sebelum berjaya menangkapnya," katanya.
Mungkin sudah rezekinya, pada masa yang sama beliau turut berjaya menangkap seekor pelanduk biasa yang kebetulan berada berhampiran pelanduk putih berkenaan.
Sejak tertangkap pelanduk putih itu, rumahnya dikunjungi orang ramai.
Menceritakan lebih lanjut, Jismani berkata kira-kira 14 tahun lepas, datuknya yang juga pengamal perubatan tradisional menemui seekor kera putih berdekatan kawasan kebun getah di Bukit Temin.
Ditanya sama ada berlaku sebarang kejadian pelik kepadanya selepas menangkap pelanduk itu, beliau berkata: "Tidak ada perkara pelik-pelik, cuma saya rasa rezeki saya bertambah sedikit".
Pelanduk putih turut mempunyai kaitan dengan sejarah pembukaan negeri Melaka, apabila Parameswara iaitu putera raja dari Palembang yang melarikan diri dari peperangan di Majapahit sehingga sampai ke muara Sungai Melaka, telah menyaksikan kehebatan seekor pelanduk putih menendang anjing perburuannya, sehingga menyebabkan baginda memutuskan untuk membuka negeri di situ mengambil sempena nama pohon Melaka tempat baginda sedang bersandar.
Sumber gambar dari page https://www.facebook.com/CeritaPasaiKedah
0 comments:
Post a Comment