Latest News

Tuesday 10 March 2015

Enakmen Jenayah Syariah Kedah Mula Dikuat Kuasa 1 Mac - Exco Agama



Enakmen Jenayah Syariah yang diwartakan kerajaan Kedah dua tahun lepas mula dikuat kuasakan 1 Mac lepas, membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pengikut dan penyebar fahaman Syiah.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata enakmen sebelum ini terlalu umum menyebabkan tindakan sukar diambil terhadap pengikut fahaman itu.

"Enakmen ini sudah dipersembahkan kepada Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Enakmen baharu ini lebih jelas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran ajaran itu.

"Tindakan boleh dikenakan kepada pengikut fahaman Syiah dan juga ajaran lain seperti Wahabi dan Tuhan Harun yang bertentangan dengan fatwa negeri," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini Isnin.

Enakmen berkenaan, kata Mohd Rawi, memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun kepada mereka yang didapati bersalah.

Selain itu, katanya di bawah enakmen baharu itu penguatkuasa boleh mengambil tindakan merampas barang-barang yang digunakan dalam penyebaran fahaman tersebut.

Beliau berkata setakat ini, tidak ada tangkapan dibuat di bawah enakmen baharu itu.

"Kita sentiasa membuat pemantauan bagi membendung ajaran ini daripada terus berleluasa. Saya juga minta masyarakat supaya membuat aduan sekiranya mengetahui ada pihak menyampaikan ajaran sesat secara tersembunyi," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Enakmen Jenayah Syariah Kedah Mula Dikuat Kuasa 1 Mac - Exco Agama Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top