Latest News

Saturday, 14 March 2015

IKTIBAR DAN SENARIO POLITIK KEDAH - DS Najib


Hakikatnya, Kedah mempunyai sejarah yang kuat dalam perjuangan UMNO dan Perikatan yang kemudiannya menjadiBarisan Nasional. UMNO dan Barisan Nasional telah bertapak di negeri Kedah sejak pilihan raya umum pertama diadakan. Dalam Pilihanraya Umum tahun 1959, Parti Perikatan/Barisan Nasional telah memenangi kesemua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 12 Kerusi parlimen.

Kemudiannya, penguasaan ini berterusan sehingga pada Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 yang lalu, di mana Barisan Nasional hilang penguasaan terhadap kerajaan negeri. Pada ketika itu,negara benar-benar dikejutkan dengan peralihan kerajaan negeri bukan sahaja di Kedah, malah ia turut berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Meskipun demikian, dalam konteks Kedah, kekalahan itu telah menjadi pemangkin kepada semangat baharu bagi UMNO di negeri ini. Mereka telah bangkit semula setelah kekalahan teruk dengan hanya 4 kerusi parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum 2008, untuk memenangi 10 daripada 15 kerusi parlimen dan 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum 2013.

Justeru, ia memberikan gambaran serta isyarat yang cukup jelas bahawa betapa UMNO dan Barisan Nasional di negeri Kedah tidak alpa dan terus kekal berjuang demi  kepentingan rakyat. Ia juga satu indikator bahawa keikhlasan yang ditunjukkan oleh pimpinan UMNO itu sendiri telah berjaya meyakinkan rakyat untuk kembali memilih UMNO dan Barisan Nasional.

Namun, kita juga perlu sedar bahawa kuasa besar dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan adalah rakyat yang menjadi pengundi itu sendiri. Apatah lagi, rakyat kini disajikan dengan pilihan antara Barisan Nasional dengan pakatan parti-parti pembangkang.

Tambahan, kerja keras kita dalam memenuhi harapan dan hasrat rakyat boleh dibuktikan melalui senarai semak serta lembar catatan. Malahan, kelemahan yang jelas terbukti dalam pakatan parti-parti pembangkang juga diketahui umum, realitinya rakyat membuat keputusan berdasarkan penilaian mereka sendiri.

Presiden Umno
14 Mac 2015
Konvensyen Umno Kedah 2015 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: IKTIBAR DAN SENARIO POLITIK KEDAH - DS Najib Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top