Latest News

Monday 30 March 2015

Kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Disambung


Kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menga­njurkan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia dilanjutkan tiga tahun lagi mulai tahun depan hingga 2018.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lanjutan kontrak itu adalah hasil kejayaan run­dingan di antara SIC dan Pengurusan Formula Satu (FOM).

Beliau menambah, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) turut bersetuju untuk menjadi penaja utama acara perlumbaan berprestij itu sepanjang tempoh tiga tahun akan datang.

“Kita juga perlu membangunkan perlumbaan F1 ini sebagai satu acara yang mendapat sambutan lebih meriah dan lebih menggalakkan bukan sahaja di peringkat antarabangsa tetapi di dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia 2015 di SIC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Perdana Menteri turut menyam­paikan hadiah kepada pelumba Ferrari, Sebastian Vettel yang menduduki tempat pertama dalam perlumbaan tersebut.

Najib menambah, semua agensi kerajaan termasuk Tourism Malaysia perlu digerakkan secara bersepadu agar objektif yang ditetapkan dapat dicapai.

“Mereka perlu memainkan peranan untuk menjadikan acara F1 ini sebagai acara yang penting dalam kalendar pelancongan negara,” ujarnya.

Beliau memberitahu, semua pihak terbabit seharusnya memikirkan strategi bagi mempertingkatkan keterujaan rakyat terhadap Grand Prix F1 Malaysia sekali gus menarik minat mereka untuk menghadiri acara itu.

“Kita akan memberi lebih banyak tumpuan kepada pengurusan acara dan melakukan promosi dengan lebih agresif,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang masa depan Grand Prix F1 Malaysia selepas 2018, Najib berkata, perkara itu akan difikirkan apabila tiba masanya.

Sementara itu, Mokhzani memberitahu, SIC akan memastikan semua promosi dan aktiviti berkaitan Grand Prix F1 Malaysia dilakukan secara lebih menyeluruh.

“Kita memerlukan lebih ramai rakyat tempatan datang dan menyaksikan perlumbaan di SIC sepanjang tiga tahun akan datang,” katanya.

Acara Grand Prix F1 Malaysia 2015 telah menarik kunjungan sebanyak 80,604 orang sepanjang tiga hari penganjurannya mulai Jumaat lalu.

Utusan Online 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Disambung Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top