Latest News

Sunday 29 March 2015

SIC mahu lebih promosi F1 Grand Prix Malaysia



LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) akan promosi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia dengan lebih agresif selepas berjaya menyambung kontrak penganjuran acara berprestij itu sehingga 2018, kata Pengerusinya, Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir.

Katanya SIC menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar semua pihak termasuk jabatan kerajaan perlu bersepadu untuk memastikan promosi dan semua aktiviti dijalankan dengan lebih baik lagi.

"Saya rasa syukur kita dapat sambung kontrak selama tiga tahun lagi. Perbincangan antara SIC, FOM (Formula One Management) dan Petronas menghasilkan satu situasi menang-menang bagi semua pihak.

"Kita perlukan lebih banyak penonton Malaysia datang ke Litar Sepang untuk tonton F1 selama 3 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan F1 Petronas Grand Prix Malaysia edisi ke-17 di Sepang hari ini.

Mokhzani berkata, sebanyak 80,604 penonton hadir bagi ketiga-tiga hari acara yang bermula pada Jumaat hingga Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata sambungan kontrak tiga tahun itu bukan mudah kerana melibatkan jumlah wang yang besar selepas menjadi hos sejak 1999.

"Kami perlu menyatakan komitmen oleh semua agensi dan penaja pada mesyuarat bersama FOM. Ini merupakan fasa baharu dalam menjadi tuan rumah," katanya.

Razlan berkata, pihak FOM memberi peluang kepada Malaysia untuk memilih tarikh perlumbaan untuk edisi tahun depan.

"Secara peribadi saya melihat kesesuaian perlumbaan diadakan pada pertengahan tahun atau penghujung musim perlumbaan. Bagaimanapun, kita perlu mengadakan perbincangan dengan penaja utama kita, Petronas," katanya.

Katanya, keputusan mengenai tarikh perlumbaan hanya akan ditentukan oleh pihak FOM pada September ini.

Menurut beliau selepas ini pihaknya akan berbincang dengan Petronas untuk mencari jalan untuk mempromosikan secara agresif perlumbaan itu. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: SIC mahu lebih promosi F1 Grand Prix Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top