Latest News

Monday 23 March 2015

Pekan Rabu Tetap Jadi Pilihan



ALOR SETAR - Kemeriahan Pekan Rabu di bangunan Ukir Mall kembali terasa dengan kunjungan orang ramai yang datang dari segenap ceruk sempena musim cuti persekolahan untuk membeli buah tangan sebagai bekalan dibawa pulang ke tempat mereka.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa gerai di sini, mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai produk tradisional seperti kuih bahulu dan peneram yang masih panas, dodol, kerepek serta pelbagai makanan lain.

Berdasarkan pemerhatian lebih setengah jam di situ, kebanyakan pelanggan tidak kisah dengan cuaca panas terik kerana terdapat pelindung tambahan yang disediakan peniaga untuk melindungi barang jualan sekali gus memastikan pelanggan dapat memilih barangan jualan dengan lebih selesa.

Peniaga kuih tradisional, Roshani Razak, 34, berkata, gerainya sering menjadi tumpuan pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai koleksi kuih tradisional asli menggunakan resipi asal diperturunkan oleh neneknya sejak dia masih remaja.

“Selalunya kunjungan orang pada Sabtu dan Ahad meningkat sekali ganda, kadang-kala boleh mencecah lebih 1,000 orang sehari. Selalunya mereka datang ke sini selepas menghadiri majlis kenduri di lokasi lain dan mengambil kesempatan untuk membeli kuih sebelum pulang ke rumah masing-masing.

“Selain itu, ada juga rombongan pelajar sekolah yang datang untuk melihat sendiri cara penghasilan dan pembuatan kuih tradisional bagi melengkapkan tugasan kerja kursus mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Roshani berkata, sambutan orang ramai terutamanya terhadap kuih tradisional yang masih panas sangat menggalakkan kerana aroma keharumannya mudah memikat sesiapa sahaja melalui kawasan ini.

“Walaupun ada beberapa gerai turut menjual kuih bahulu namun, tidak menjadi masalah kerana masing-masing menggunakan ramuan sendiri terpulang kepada selera pelanggan. Kami juga menyediakan tempahan bahulu yang digunakan sebagai gubahan hantaran perkahwinan,” katanya.

Lokasi baru mudah dicari

Bagi peniaga kerepek tradisional, Nor Aini Abdullah, 52, berbanding peringkat awal perpindahan sambutan orang ramai kini semakin memberangsangkan.

“Lokasi penempatan baru tidak terlalu jauh dari tempat asal memudahkan pengunjung untuk mencarinya. Namun jika ada yang masih tidak jumpa, selalunya adik-beradik mereka yang tinggal di sekitar Alor Setar akan tolong bawa ahli keluarga atau rakan mereka itu ke sini.

“Apabila ada program atau majlis kenduri yang dianjurkan di kawasan Ukir Mall, ia turut membantu menambah bilangan pengunjung ke sini,” katanya.

Nor Aini yang sudah menjalankan perniagaan sejak berusia belasan tahun mengakui kemeriahan di tempat baru dengan tempat lama lebih kurang sama.

“Tidak semua gerai menjadi tumpuan pengunjung. Saya bernasib baik kerana kedudukan gerai terletak di tengah lorong bersebelahan bangunan Ukir Mall kerana suasananya lebih redup berbanding di tepi jalan,” katanya.

Parkir bas terhad

Pembantu gerai kerepek tradisional, Nor Shahirah Sharifuddin, 25, berkata, walaupun di sini kelihatan meriah namun, masih tetap terasa kekurangannya berbanding di lokasi asal.

“Jika diikutkan jumlah kunjungan pelanggan ke sini hanya kira-kira separuh dari pengunjung yang biasa ke tempat lama.

“Selalunya pada hari terakhir sebelum musim cuti persekolahan bermula terutamanya Khamis dan Jumaat boleh dikatakan bilangan pengunjung bertambah berbanding sekarang. Ada pelajar yang tinggal di asrama atau waris pelajar singgah membeli barang untuk dibawa pulang,” katanya.

Nor Shahirah berkata, bagaimanapun situasi berlainan sama sekali di sini, biarpun sudah dua kali melalui musim cuti persekolahan termasuk ketika cuti Tahun Baharu Cina.



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pekan Rabu Tetap Jadi Pilihan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top