Latest News

Thursday 5 March 2015

Pembinaan Lapangan Terbang XP Dan Lebuhraya Spike Mampu Jana Ekonomi Utara - Ku Rahman



Hampir 10 juta penduduk di wilayah utara akan mendapat faedah besar daripada cadangan projek mega Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Kedah Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata selain itu penduduk di kawasan sekitar juga akan turut merasai bahang pertumbuhan ekonomi dan peningkatan peluang pekerjaan hasil daripada projek tersebut.

Ku Abdul Rahman berkata cadangan pembinaan Lebuhraya SPIKE, sejauh 80 kilometer dari Plaza Tol Bagan Samak di Bandar Baharu melalui Pekan Serdang, ke kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) hingga ke Lebuh Raya Plus di Sungai Petani kini dalam kajian terperinci kerajaan.

"Pihak Kerajaan Negeri dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi kini sedang menjalankan kajian lebih mendalam kerana lebuhraya tersebut perlu dibina dahulu sebelum projek lapangan terbang dibina," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama di Program Latihan Tindakan Kecemasan Menyeluruh Koridor Raya Multimedia (MSC) Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini, hari ini.

Lebuhraya SPIKE dan KXP merupakan antara enam rancangan utama Kedah dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang mampu memacu pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Sementara itu Presiden Kulim Teknologi Park Corporation (KTPC), Datuk Annuar Mohd Saffar berkata sebagai sebuah bandar berstatus 'MSC Cybercity', KHTP sentiasa komited menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk para pelabur dan juga pekerjanya.

Sehubungan itu, katanya, program anjuran bersama KTPC dan Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC) pada hari ini adalah bertujuan untuk memberi penerangan kepada kakitangannya tentang peranan dan tindakan segera yang perlu diambil bagi membantu mangsa serta menguruskan aset atau harta dalam situasi kemalangan atau bencana.

KHTP, taman teknologi tinggi yang berada di bawah naungan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, diuruskan oleh KTPC.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pembinaan Lapangan Terbang XP Dan Lebuhraya Spike Mampu Jana Ekonomi Utara - Ku Rahman Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top