Latest News

Monday, 16 March 2015

Persediaan Hadapi PRU Ke-14 Perlu Bermula Sekarang - Mukhriz




Persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 perlu bermula daripada sekarang dan menjadi fokus setiap anggota jentera parti negeri, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata jentera parti tidak seharusnya menunggu saat akhir, justeru katanya setiap aktiviti di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu dipergiatkan serta merta bagi mengetahui setiap permasalahan rakyat mengikut sesuatu kawasan.

Menteri Besar Kedah itu turut mencadangkan agar setiap bahagian dan cawangan parti memberi penerangan dan melakukan perbincangan dalam bentuk kumpulan kecil.

"Khalayak lebih mengenali kita, sekali gus boleh mematahkan dakyah yang dilontar pihak tidak bertanggunjawab, itu satunya cara atasi tohmahan yang disebar melalui media sosial," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen UMNO Kedah di sini hari ini.

Mukhriz turut menegur sikap sesetengah anggota parti yang sudah mula membincangkan mengenai pemilihan parti, sedangkan tarikh sebenar belum diketahui.

"Kita langsung tidak tahu tarikh pemilihan, tetapi mereka sudah ada gerakan mengambil kedudukan untuk mengukuhkan kempen mereka dalam parti. Saya fikir ini tidak produktif dan tidak membantu kita ketika menghadapi pilihan raya umum.

"Saya cadangkan kita tidak perlu fikirkan sangat hal itu, akan ada masanya kita fokus terhadapnya, bukan sekarang. Lebihkan tumpuan kepada menyediakan diri menghadapi pilihan raya umum," katanya.

Mengenai hubungan antara UMNO negeri dengan pucuk pimpinan UMNO pusat, beliau menegaskan tidak ada sebarang masalah dan perselisihan berlaku, seperti diceritakan sesetengah pihak tidak bertanggunjawab.

"Kami sangat baik dan mesra, apa saja masalah UMNO tahu macam mana nak selesaikan. Jangan bimbang mengenainya," kata beliau.

Katanya ia jelas dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perasmian Konvensyen UMNO Kedah semalam, sekali gus menunjukkan hubungan baik dan mesra dengan Presiden UMNO itu.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Persediaan Hadapi PRU Ke-14 Perlu Bermula Sekarang - Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top