Latest News

Sunday 22 March 2015

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2015 Di Kedah


Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2015 dibuat secara besar-besaran dan serentak seluruh dunia sebagai simbolik kepada usaha-usaha ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan dengan pemeliharaan hutan.

Di Malaysia majlis Hari Hutan Antarabangsa ini telah di laksanakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar Kedah pada hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia, YB Dato' Seri James Dawos Mamit, YB Dato' Badrol Hisham Hashim, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam ucapan perasmian Dato' Seri Hj. Mukhriz mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memilih Negeri Kedah Darul Aman sebagai tuan rumah bagi sambutan ini.

Kerajaan Negeri Kedah Aman komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan demi kesejahteraan masyarakat sejagat. Sehingga kini, keluasan Hutan Simpanan Kekal Kedah adalah seluas 341,976 hektar bersamaan dengan 36 peratus dari keluasan tanah negeri.

Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menambah kawasan-kawasan Hutan Simpanan Kekal dengan mewartakan kawasan-kawasan Tanah Kerajaan yang sesuai.

Tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2015 iaitu “Hutan Untuk Masyarakat" (Forest For Community Livelihood) serta pemilihan lokasi sambutan di Taman Jubli Emas amatlah bertepatan dengan kesungguhan dan hasrat murni serta komitmen kerajaan negeri Kedah sejajar dengan moto “Bersama Memacu Transformasi’.

Bandaraya Alor Setar akan mengalami perubahan wajah ke arah menjadikan sebuah Bandaraya Metropolis melalui pengwujudan Hutan Bandar yang akan menjadi destinasi pelancongan baru di Koridor Utara dan sekaligus, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan. ujarnya.

Hutan bukan sahaja membekalkan sumber kayu kayan, malah ia turut membekalkan hasil bukan kayu termasuklah pelbagai spesies herba yang mampu menghasilkan ubat-ubatan serta bahan makanan kepada kita semua. 

Di samping itu, hutan juga mampu menyediakan tempat perlindungan serta menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Hutan turut berperanan untuk tujuan riadah dan menjana kitaran hidrologi serta udara sehingga membolehkan kelangsungan kehidupan makhluk di bumi ini.

Kedah mempunyai banyak lokasi pelancongan berasaskan hutan yang berpotensi untuk dinaiktaraf dan dimajukan seperti keunikan hutan paya laut di Sungai Merbok, Mountain Forest di Gunung Jerai, Hutan Lipur Sedim yang popular dengan aktiviti berakit di jeram berarus deras serta Canopy Walk.

Menurutnya lagi, banyak lagi destinasi pelancongan di Langkawi seperti Hutan Simpan Kisap, Hutan Simpan Gunung Machinchang dan Hutan Simpan Dayang Bunting. Saya harap usaha-usaha mengenalpasti potensi eko-pelancongan baharu dapat dipergiatkan demi mempelbagaikan sumber pendapatan kepada Kerajaan Negeri.

Sektor perhutanan telah menjana pendapatan Negeri melalui kutipan hasil premium, royalti dan caj-caj lain berjumlah RM35,370,427.24 juta bagi tahun 2014. Manakala bagi tahun 2015, sektor ini diunjur akan menyumbang sejumlah RM37,372,500 juta.

Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa pendapatan Negeri tidak diperoleh daripada usaha hasil Hutan Simpanan Kekal sahaja, malah Hutan Simpanan Kekal juga akan menjana hasil dari segi pelancongan. Sebagai contoh Kerajaan Negeri telah meluluskan kutipan permit memasuki Hutan Simpan sebanyak RM3.00 bagi setiap pengunjung yang memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Dianggarkan pengunjung yang memasuki Hutan Simpanan Kekal di Langkawi berjumlah 1 juta orang, bermakna hasil dari caj permit sahaja boleh menyamai kutipan cukai usaha hasil. Ini merupakan potensi besar bagi Kerajaan Negeri untuk menambah hasil negeri.

Kerajaan Negeri juga sedang menimbang cadangan untuk mewartakan Langkawi sebagai Kawasan Warisan bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengutip RM1 untuk setiap pengunjung yang datang Pulau Langkawi. Seiring dengan Tahun Melawat Kedah yang akan dijalankan pada Tahun 2016, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah berusaha untuk menambah lagi pengunjung supaya terlibat dengan pelancongan yang melibatkan alam sekitar seperti eko-pelancongan.

Kerajaan Negeri secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang akan menambah satu daerah baharu iaitu mewujudkan satu Daerah Perhutanan Langkawi, menjadikan kesemuanya 4 Daerah Perhutanan Negeri Kedah. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM12.3 juta untuk pembinaan kompleks Pejabat Hutan Daerah Langkawi sebagai memantapkan pentadbiran dan pengurusan hutan di Daerah Langkawi.

Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan mengalu-alukan khidmat nasihat dan bantuan teknikal daripada pihak Kementerian terutama projek-projek yang berkaitan dengan eko-pelancongan dan bio-diversiti yang menjurus ke arah aspek kestabilan dan pengekalan alam sekitar. Ini adalah sejajar dengan keperluan dan matlamat Kerajaan Negeri bagi meningkatkan hasil dan perkhidmatan hutan melalui pelbagai aktiviti perhutanan.

Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM26.58 juta bagi membiayai aktiviti pengurusan, pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber hutan di Kedah bagi tahun 2015. Peruntukan ini adalah di bawah Peruntukan Mengurus sejumlah RM18.3 juta, peruntukan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan sejumlah RM 7.7 juta dan Pembangunan Negeri sejumlah RM5.8 juta.

Pertambahan peruntukan sebanyak RM4.5 juta atau 17 peratus berbanding peruntukan tahun 2014 menunjukkan Kerajaan Negeri komited terhadap Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di Negeri Kedah.

Projek pembangunan, pemeliharaan serta pemuliharaan hutan ini akan terus diberikan tumpuan oleh Kerajaan Negeri agar harapan masyarakat supaya kawasan hutan terus terpelihara bagi pengeluaran hasil dan perkhidmatan hutan yang berkekalan tercapai sepenuhnya.

Selain daripada itu, kesedaran masyarakat umum dalam pemeliharaan hutan juga penting dan ianya akan terus dipertingkat melalui pelbagai aktiviti yang akan diadakan seperti Program Penanaman Pokok, penganjuran Hari Hutan Antarabangsa, Sambutan Minggu Alam Sekitar, Kem Cintai Alam Sekitar dan pelbagai program lain yang menjurus ke arah memupuk kesedaran cintakan hutan dan alam sekitar.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2015 Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top