Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mempedulikan pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengutamakan pelaksanaan hudud berbanding kemenangan dalam pilihan raya apabila menegaskan undang-undang Islam itu bukanlah dasar pakatan pembangkang.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, kedudukan hudud yang tidak dijadikan dasar pakatan pembangkang itu juga telah dipersetujui bersama oleh DAP dan Pas sendiri sebelum ini.
Beliau turut menolak alasan Abdul Hadi yang menyatakan hudud dilaksanakan atas dasar memelihara keselamatan dan keamanan rakyat secara keseluruhannya di samping menafikan dakwaan Ahli Parlimen Marang itu bahawa PKR dan DAP tidak bersetuju dengan hukum itu kerana khuatir akan hilang undi.
“Saya fikir polisi bersama oleh pakatan adalah jelas (tidak melibatkan soal hudud).
“Kita bercakap mengenai pemerkasaan ekonomi, kebajikan dan sistem pendidikan semua rakyat. Ini adalah sebenarnya isu keselamatan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menegaskan parti itu lebih rela tewas dalam pilihan raya daripada menukar pendirian sama seperti PKR dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud sebelum ini.
Menurut Abdul Hadi, Pas kekal dengan prinsip melaksanakan hudud adalah lebih penting berbanding kedudukan politik kerana hukum itu bukan hanya disyariatkan dalam Islam, tetapi satu jaminan keadilan untuk keamanan dan keselamatan rakyat keseluruhannya.
- utusan online
0 comments:
Post a Comment