Latest News

Thursday 9 April 2015

Kedah Yakin Anak Mudanya Tidak Dididik Fahaman Militan Di Negeri Ini - Exco


Kerajaan Kedah berkeyakinan anak muda negeri itu yang ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dengan kumpulan militan IS, terpengaruh dengan fahaman ekstremisme semasa berada di luar dari negeri berkenaan.

Exco Agama negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata anak-anak muda Kedah itu berkemungkinan besar terpengaruh dengan unsur militan yang disebar menerusi internet dan sumber tidak rasmi lain.

"Kami berkeyakinan, mereka bukan dididik di Kedah kerana cara pendidikan agama di negeri ini, tertib dan daripada ajaran guru yang muktabar. Ia berkemungkinan (mereka terpengaruh) melalui internet dan sahabat-sahabat yang tidak rasmi," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek bernilai RM44.54 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah yang diwakili oleh Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Cek itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada majlis yang berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini.

Mohd Rawi berkata penerangan tentang bahayanya gerakan militan IS, Syiah dan Wahabbi perlu dilakukan di peringkat lebih awal, membabitkan imam-imam yang berada paling hampir dengan masyarakat.

Selain itu, katanya gerakan penerangan tentang bahaya IS, Syiah dan ajaran-ajaran songsang perlu melibatkan penyertaan daripada golongan ulama.

Mengenai jelajah penerangan tentang bahaya ISIS yang dicadang diadakan oleh Polis Kedah baru-baru ini, beliau berkata setakat ini pihaknya belum mengadakan mesyuarat dengan polis tentang perkara itu.

Tentang peruntukan yang diterima hari ini, beliau berkata ia adalah untuk pembayaran elaun guru KAFA, guru Takmir, imam dan pegawai penyelaras masjid daerah di Kedah bagi tahun ini.

Kerajaan Kedah, katanya amat berterima kasih kepada kerajaan pusat yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan agama Islam di negeri tersebut.

Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Yakin Anak Mudanya Tidak Dididik Fahaman Militan Di Negeri Ini - Exco Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top