Latest News

Friday 15 May 2015

Firma China Bantu Bina Stesen Janakuasa Pertama Di Kedah


China CAMC Engineering Co Ltd (CAMCE), syarikat milik negara China, merancang untuk membina stesen janakuasa di Kedah melalui kerjasama dengan sebuah syarikat Malaysia, KOSMO Group of Companies.

Pengerusi KOSMO Group, Marzuki Yahya berkata kedua-dua syarikat telah mengenal pasti beberapa bidang untuk usaha ini tetapi fokus utama kini lebih kepada tenaga.

Beliau berkata kerjasama mereka ialah untuk melihat pembangunan masa depan Kedah dan mereka mendapati Kedah merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mempunyai stesen janakuasa.

"Itu (sektor tenaga) adalah langkah pertama yang kami tinjau...dengan rakan kongsi dalam CAMCE dan disokong kukuh oleh Bank of China. Beberapa susulan akan dibuat berhubung projek itu ...bila kami boleh memulakan projek itu," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat di sini pada Khamis.

MoU itu ditandatangani oleh Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif KOSMO Group Zulkifli Abdullah, dan Penolong Presiden CAMCE Liu Shengcheng.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Marzuki berkata bagi projek stesen janakuasa, kedua-dua syarikat bersedia melabur US$3 bilion.

Sementara itu, Liu berkata selain tenaga, kedua-dua pihak juga berminat untuk melabur dalam beberapa sektor lain seperti lapangan terbang, lebuh raya, pertanian, infrastruktur dan kilang pemprosesan makanan.

"Malaysia mempunyai banyak peluang untuk pelabur China. Sebagai syarikat milik negara, kami digalakkan oleh kerajaan China dan beberapa institusi kewangan China untuk melabur di Malaysia.

"Kami juga mempertimbangkan beberapa sektor lain, terutamanya undang-undang pelaburan yang sangat lengkap untuk melindungi para pelabur. Itulah sebabnya kami lebih berminat untuk melabur di Malaysia," katanya.

Beliau berkata kerajaan China kini menggalakkan syarikat China untuk melabur di negara-negara di bawah "laluan" yang sama, kerana Malaysia merupakan salah satu negara yang penting dalam laluan itu.

"Ini bermakna kerajaan kami akan memberikan sokongan untuk pelaburan luar negara. Kami berharap untuk mendapat bantuan dan sokongan daripada kerajaan Malaysia supaya pelaburan kami akan berjaya," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Firma China Bantu Bina Stesen Janakuasa Pertama Di Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top