Latest News

Sunday 3 May 2015

Masjid Bukan Platform Untuk Berkempen - Jamil Khir



Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang (MAINPP) diminta memperkemas peraturan sedia ada bagi mengelakkan masjid dijadikan pentas politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jika perkara itu tidak dikawal, ia boleh menyebabkan perbalahan dan pergaduhan yang akan membawa kesan buruk kepada perpaduan ummah.

"Saya selalu pesankan kepada khatib-khatib di masjid dan walaupun kami memahami ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri kami minta satu kerjasama yang rapat dengan kami supaya masjid adalah tempat, zon yang kita anggap sebagai satu kawasan keamanan dan ketenangan untuk semua pihak.

"Tapi kalau mimbar masjid sudah digunakan untuk tujuan dan matlamat-matlamat kepentingan satu-satu parti politik yang didukung khususnya oleh khatib itu maka bagaimana pula perasaan dan anak makmum yang di bawah," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis ramah mesra serta penyampaian bantuan sumbangan kepada pengurusan sekolah agama, masjid dan surau, di Masjid Timah di sini hari ini.

Semalam, khatib Masjid Batu di Kampung Pertama di Permatang Pauh, dekat sini menyampaikan khutbah Jumaat meminta anggota jemaah mengundi calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.

Masjid Batu menjadi tumpuan penyokong tegar PAS dengan pelbagai kegiatannya disertai anggota dan penyokong parti itu.

Ditanya sama ada tindakan akan dikenakan terhadap khatib itu, Jamil Khir berkata hal ehwal agama Islam terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah, calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan setelah disabitkan kesalahan liwat. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Masjid Bukan Platform Untuk Berkempen - Jamil Khir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top