Latest News

Sunday 3 May 2015

Sokongan Pengundi Cina, India Luar Biasa #PrkPermatangPauh



Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) mendapat suntikan semangat baharu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh selepas menerima sokongan luar biasa daripada pengundi Cina dan India.

Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, maklum balas positif daripada pengundi Cina dan India itu adalah di luar dugaan memandangkan kawasan Parlimen berkenaan sebelum ini diketahui merupakan kubu kuat pembangkang.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO menambah, maklum balas baik yang diterima jentera Wanita BN itu memberi dorongan kepada mereka untuk mempergiatkan usaha mendekati pengundi dari rumah ke rumah sepanjang tempoh berkempen sehingga 7 Mei ini.

"Saya melihat ini satu perubahan besar dalam kalangan pengundi kerana mereka kini bijak dan menilai dengan teliti masalah dalam pembangkang.

"Pengundi Cina dan India juga berharapkan masa depan negara yang baik serta ekonomi yang berkembang untuk anak cucu mereka dan semua itu ditawarkan oleh kerajaan BN," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan di Seberang Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, jentera Wanita UMNO juga kerap menerima rungutan dan aduan daripada penduduk di Permatang Pauh yang kebajikan mereka diabaikan wakil rakyat kawasan berkenaan selama ini.

Tambahnya, keadaan seperti itu tidak akan berlaku sekiranya penduduk Permatang Pauh memberi peluang kepada calon BN, Suhaimi Sabudin mewakili mereka dalam PRK kerusi berkenaan.

"Jadi inilah masanya untuk penduduk Permatang Pauh merubah nasib mereka yang selama ini dikatakan terabai serta tidak terbela," katanya.

utusan malaysia
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Sokongan Pengundi Cina, India Luar Biasa #PrkPermatangPauh Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top