Latest News

Monday 4 May 2015

Muhyiddin Bukti Komitmen Pengarah Pilihanraya



Oleh Nur Adila Abdul Wahab

BUTTERWORTH, 4 Mei (Bernama) -- Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya kecil (PRK) di dua tempat berbeza, yang terpisah dengan jarak hampir 700 kilometer, dan pada masa sama memastikan perjalanan kempen berjalan lancar.

Namun, tanggungjawab itu berjaya digalas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditugaskan sebagai pengarah PRK Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Rompin di Pahang.

Walaupun perlu membahagikan masa di kedua-dua kawasan Parlimen itu, Timbalan Perdana Menteri memainkan peranannya dengan seadil-adilnya tanpa mengabaikan pengundi di kedua-dua kawasan itu.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya kecil itu, Muhyiddin turut melantik dua Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai pengarah PRK bersama di Permatang Pauh dan Rompin.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai penyelaras BN bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu.

Boleh dikatakan kehadiran Muhyiddin di Permatang Pauh selang sehari, diikuti program di Rompin dan kembali ke Permatang Pauh.

Jadual program di Permatang Pauh yang meliputi perjumpaan dengan pelbagai lapisan masyarakat di setiap pelosok kawasan Parlimen itu menunjukkan komitmen BN dalam meraih sokongan pengundi untuk memilih calon BN Suhaimi Sabudin sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.

Sering kali menekankan BN sebagai 'underdog' di Permatang Pauh, Muhyiddin mengibaratkan cabaran yang perlu dilalui parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen itu seperti 'mendaki gunung'.

"Saya tahu ini bukan kerja mudah...'we are underdog' kata orang, sebagai 'underdog' kita tahu cabaran kita seperti mendaki gunung.

"Tapi saya yakin kerana dalam BN yang gerak kerja mereka semuanya padu, tak ada split (perpecahan) dalam UMNO bahagian baik dari segi gerakan ataupun dari segi calon tak ada perpecahan. Kita tahu kita boleh bergerak sebagai satu pasukan," katanya selepas proses penamaan calon PRK Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara, Berapit dekat sini pada 25 April lepas.

Dalam merealisasikan kemampuan BN melakar sejarah baharu di kawasan kubu kuat PKR itu, Muhyiddin sering menegaskan parti-parti komponen BN terutamanya UMNO untuk terus bersatu tanpa melakukan sebarang unsur sabotaj dan fokus kepada usaha memenangi kerusi Parlimen itu pada 7 Mei ini.

Muhyiddin juga mengambil pendekatan untuk tidak menjadikan kemelut DAP-PAS-PKR sebagai pengukur kepada kekuatan BN dalam pilihan raya kecil itu sebaliknya lebih menumpukan kepada aspek memberi penjelasan terhadap perkara yang dibangkitkan pakatan pembangkang dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri turut berkata tumpuan utama penjelasan yang akan dibuat oleh jentera BN ialah mengenai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu termasuk isu pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Muhyiddin sebelum ini turut mengarahkan agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan segera menangani masalah dalam pelaksanaan sistem percukaian baharu itu.

Dalam kesibukan memantau perjalanan kempen pilihan raya kecil, Muhyiddin tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin kedua tertinggi negara yang turut memerlukan perhatian.

Komitmen Muhyiddin yang tidak berbelah bahagi itu membuktikan BN benar-benar mahu memberikan yang terbaik untuk pengundi-pengundi di kawasan itu dengan meneruskan agenda pembangunan yang sepenuhnya.

Kini segalanya terletak di tangan pengundi untuk menilai kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat serta memastikan tidak ada lapisan masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), dan calon Bebas, Salleh Isahak.

PRK yang dijadualkan pada 7 Mei ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dihukum penjara lima tahun kerana sabitan meliwat, melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Sementara itu, PRK Rompin yang akan diadakan esok menyaksikan calon BN Datuk Hasan Arifin dicabar calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen itu ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Muhyiddin Bukti Komitmen Pengarah Pilihanraya Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top