Latest News

Thursday 28 May 2015

Yayasan Sultanah Bahiyah Anjur Karnival Amal Hari Penyayang 28-30 Mei



Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) akan menganjurkan Karnival Amal Hari Penyayang 2015 dari 28 hingga 30 Mei ini di Perkarangan Stadium Darul Aman bagi mengumpul dana untuk projek tuisyen percuma, Titian Bistari.

Anggota Lembaga Amanah YSB Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata karnival yang dianjurkan buat kali ke-17 itu turut menyediakan pelbagai aktiviti, pameran dan jualan di sepanjang karnival tiga hari itu.

Beliau berkata sejajar dengan konsep 'Berhibur Sambil Menderma' pelbagai acara akan diadakan seperti bazar kebajikan, bazar makanan, kempen derma darah, pameran kerjaya, pertandingan futsal remaja, larian bendang, pertandingan suara burung, peraduan mewarna kanak-kanak, forum perdana dan persembahan artis.

"Pada 30 Mei (Sabtu), Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan berangkat mencemar duli ke Stadium Darul Aman," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Para pengunjung boleh membeli kupon berharga RM10 yang dijual di perkarangan stadium pada hari karnival berlangsung dan boleh menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM20,000, katanya.

Syed Unan Mashri berkata dana yang dikumpul akan digunakan bagi membantu projek Titian Bistari untuk memberikan tuisyen percuma kepada murid-murid miskin yang berpotensi di kawasan pedalaman di sekitar negeri Kedah.




"Projek ini bertujuan membantu dan meningkatkan tahap keupayaan murid-murid miskin yang berumur 10 hingga 12 tahun terutama dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

"Projek yang menelan kos RM1.2 juta ini dibiayai oleh YSB dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah," katanya.

Katanya, seramai 100,000 pengunjung dijangka turut sama hadir bagi memeriahkan karnival itu.

--BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Yayasan Sultanah Bahiyah Anjur Karnival Amal Hari Penyayang 28-30 Mei Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top