Latest News

Wednesday 24 June 2015

Amalan 'Angkat Tangan' Di Pintu Sempadan Perlu Dibuang Elak Penyeludupan


Amalan 'angkat tangan' oleh individu tertentu kepada anggota keselamatan di pintu masuk sempadan perlu dikekang bagi mengelak berlakunya penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan dari negara jiran.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata tiada kompromi terhadap mereka yang melakukan perkara tersebut dan tindakan akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah menyeludup masuk barangan atau PATI.

Beliau berkata amalan itu perlu dibuang dan polis sentiasa mengetatkan kawalan agar barangan haram dan PATI tidak mudah diseludup masuk ke negara ini menerusi negara jiran, Thailand.

"Semua agensi seperti polis, kastam, imigresen dan Unit Pencegah Penyeludupan telah menerima arahan untuk memeriksa semua kenderaan keluar masuk ke negara ini," katanya ketika hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang baharu, di sini Selasa.

Katanya kenderaan jabatan kerajaan juga tidak terkecuali daripada diperiksa agar penjawat awam tidak menyalahguna kenderaan jabatan untuk menyeludup pelbagai barangan seperti bunga api dan mercun.

Sementara itu, Zamri turut meminta Ketua Polis Daerah yang berada di sempadan menyusun strategi khas dalam memantau pergerakan masuk PATI ke negara ini menerusi pintu sempadan atau lorong tikus.

Katanya setakat ini Polis Gerakan AM (PGA) telah menggagalkan empat aktiviti penyeludupan manusia ke negara ini menerusi Thailand.

Beliau berkata polis turut menahan sembilan lelaki Rohingya dan Bangladesh serta seorang lelaki tempatan yang menjadi dalang penyeludupan PATI di Langkawi, 10 Mei lepas.

"Bot yang dinaiki PATI Rohingya dan Bangladesh itu adalah milik lelaki tempatan dan kesemua mereka ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Mengenai dalang penyeludupan manusia yang dikenali sebagai 'Yassin', Zamri berkata polis Bukit Aman yang bekerjasama dengan polis Thailand masih menyiasat mengenai suspek.

Pada majlis itu, Ketua Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Pesara Bukit Aman, SAC Hashil Ali dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah bagi menggantikan SAC Mohd Shariff Abdul Wahid yang bersara wajib.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Amalan 'Angkat Tangan' Di Pintu Sempadan Perlu Dibuang Elak Penyeludupan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top