Latest News

Saturday 27 June 2015

Kekurangan Di ICQS Bukit Kayu Hitam Perlu Diperbaiki Elak Penyeludupan



Beberapa kekurangan dalam kawalan keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam perlu diperbaiki bagi mengelak penyeludupan dari negara jiran.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim yang melawat kompleks itu semalam berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian seperti koordinasi antara jabatan atau agensi yang menjalankan tugas penguatkuasaan bersama.

Selain itu, katanya jumlah anggota penguatkuasaan perlu diperbanyakkan terutama pada waktu puncak dan mesin pengimbas perlu beroperasi sepanjang masa bagi mengimbas bagasi atau barangan yang diletakkan dalam kotak yang dibawa mereka yang masuk ke nagara ini.

Beliau berkata kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) yang rosak perlu diperbaiki dengan segera serta perlu ditambah di seluruh kompleks itu bertujuan untuk memperincikan pemantauan serta pergerakan individu dan kenderaan.

"Latihan untuk meningkatkan kecekapan anggota penguatkuasa dalam menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di pintu masuk negara perlu diadakan secara berkala," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Mohamad Yusri berkata selain itu latihan penggunaan alat komunikasi canggih perlu dilakukan bagi memudahkan perhubungan antara anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi ketika bertugas.

Beliau berkata ketika pemeriksaanya bersama lima anggota lain di kompleks itu mendapati terdapat cubaan menyeludup masuk barangan terlarang seperti mercun dan bunga api.

Katanya ini kerana permintaan tinggi terhadap mercun dan bunga api menjelang perayaan Aidilfitri sehingga mendorong segelintir masyarakat bertindak menyeludup barangan terlarang itu dari negara jiran.

"Orang ramai diingat agar tidak menyeludup masuk mercun dan bunga api ke negara ini kerana ia satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sepuluh kali ganda nilai barangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya pemeriksaan mengejut bermula pukul 2.45 hingga 4 petang bukan sahaja melihat prosedur operasi standard (SOP) anggota penguatkuasa menjalankan tugas malah turut memantau seluruh kawasan kompleks berkenaan.



-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kekurangan Di ICQS Bukit Kayu Hitam Perlu Diperbaiki Elak Penyeludupan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top