Latest News

Tuesday 30 June 2015

Tamar Pembuka Puasa Paling Afdal



RAMADAN adalah bulan yang dinanti seluruh umat Islam. Bulan yang mempunyai banyaknya barakah ini sering dikaitkan dengan makanan pembuka puasa yang paling afdal iaitu kurma.

Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya. Daripada Hazrat bin Anas RA berkata: "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji tamar sebelum solat. Sekiranya tidak terdapat kurma, maka Baginda SAW berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air. (Riwayat Ahmad)

Khasiat kurma

Tahukah anda, bahawa buah kurma ini mempunyai khasiat dan rahsia tersendiri.

Kurma atau tamar adalah sejenis tumbuhan (palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai phonexdactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah serta mempunyai pelbagai jenis dan kebanyakannya berada di negara Arab.

Rasulullah SAW memandang tinggi buah kurma kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi. Kandungan protein dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula dalamnya ditukar secara semula jadi.

Ini bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap adalah serta merta.

Ini kerana, gula dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh kerana terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

Sunat dengan kurma

Disunatkan berbuka puasa dengan kurma kerana mereka yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta merta kepada pemakan dan ini memudahkan seseorang itu untuk beribadat dan menunaikan solat Maghrib atau tarawih.

Elakkan daripada terlalu banyak makan, kebanyakan makanan yang diambil kebiasaannya mengandungi terlalu banyak karbohirdrat dan membuatkan kita mudah letih dan mengantuk untuk meneruskan amalan seterusnya.

Makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat dan amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan.

Khasiat kurma yang mempunyai kalori tinggi dan mudah dicerna oleh tubuh badan memang sesuai jika digunakan saat berbuka puasa.

Berdasarkan kajian daripada Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku bertajuk Tempoh Mengandung dari segi Perubatan, Fiqhiyah dan Perundangan, hasil kajiannya menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat dalam buah kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu.

Kajian pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknolgi, University Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Asiah Zain, menyatakan daripada segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari dapat mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mempunyai zat galian seperti potassium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah.

Menurut Prof Madya Asiah lagi, kurma dapat memberi kecerdasan pada minda dan sangat membantu bagi proses tumbesaran.

Justeru itu, kanak-kanak sangat digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekali gus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

Tambahan juga, kurma dapat memberi tenaga segera pada mereka yang mengamalkannya.

Maka dengan itu ALLAH SWT. menyuruh Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa AS, akibat kehilangan banyak tenaga dan darah.

Buah terhebat

Kurma adalah yang paling hebat antara keluarga besar buah-buahan, kerana mempunyai zat gizi penting bagi tubuh manusia dan terutamanya jantung dan pembuluh darah, iaitu kalium.

Fungsi mineral ini membuat denyutan jantung makin teratur, mengaktifkan kontraksi otot, serta membantu mengatur tekanan darah.

Beberapa penelitian membuktikan makanan tinggi kalium ini dapat menurunkan risiko serangan strok. Ia cukup dengan mengamalkan makan kurma lima biji sehari.

Oleh itu, jadikanlah amalan memakan buah kurma bukan sekadar dalam bulan Ramadan sahaja tetapi mengharapkan mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan ini kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugasan harian dengan beribadat kepada ALLAH.


- NUR HUDA KAMARULZAMAN, (Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai)
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tamar Pembuka Puasa Paling Afdal Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top