Latest News

Monday 6 July 2015

Polis Kedah Rampas Pistol, Ganja


Polis Kedah merampas sepucuk pistol jenis Revolver dan sembilan ketulan ganja mampat seberat 8.8 kilogram dalam dua operasi berasingan di Changloon, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Negeri Datuk Zamri Yahya berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang, Jumaat itu polis merampas sepucuk pistol tiruan serta bebola peluru, selain Revolver .38 Smith & Wesson daripada dua lelaki yang turut ditahan itu.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada pistol yang dirampas itu mahu digunakan untuk tujuan rompakan atau untuk disewakan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun dari Pulau Pinang dan Selangor itu, ditahan selepas agenda kejar-mengejar bermula dari Lebuhraya Changloon-Kubang Pasu sehingga ke sebuah pusat mencuci kereta di pekan itu.

Menurut Zamri, "Ops Cantas Khas" yang dijalankan bersama anggota dari Bukit Aman itu menemui Revolver serta pistol tiruan di dalam beg sisi seorang daripada lelaki berkenaan selepas bergelutan.

Polis katanya, turut merampas kereta Perodua Myvi dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan yang kini disiasat di bawah Akta Senjata Api kerana memiliki Revolver dan sepucuk pistol tiruan.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga 10 Julai ini.

Dalam kejadian kedua pada 10 malam tadi pula katanya, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah menahan sebuah kereta Proton Wira di KM16, Lebuhraya Utara Selatan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Changloon.

Polis menemui sembilan ketulan ganja mampat seberat 8.8 kilogram dengan nilai pasaran RM27,000 serta menahan tiga lelaki berumur antara 30 dan 47 tahun, katanya.

Dua daripada tiga lelaki berkenaan disahkan positif dadah, katanya menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 11 Julai ini.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Polis Kedah Rampas Pistol, Ganja Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top