KEHILANGAN pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 tahun lalu bukanlah satu-satunya kehilangan misteri yang dilaporkan sehingga kini.
Misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 pesawat termasuk anak kapal yang hilang kira-kira sejam selepas pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa di Sepang pada 8 Mac, tahun lalu.
Sejak seminggu lalu, beberapa penemuan sisa cebisan pesawat yang dikaitkan dengan pesawat MH370 itu, telah menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah mungkin sisa-sisa yang termasuk secebis 'flaperon' dan 'tangga domestik' kepunyaan pesawat MH370?
Buat masa ini, pihak penyiasat sedang menganalisa serpihan 'flaperon' dari pesawat Boeing 777 ditemui pada Rabu lalu di sebuah makmal di Toulouse, Perancis.
Pada Isnin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan Malaysia sudah menghantar dua pasukan penyiasat khas ke Pulau Reunion yang terletak di timur Lautan Hindi bagi meneruskan pencarian cebisan pesawat di kawasan perairan itu.
Pihak penyiasat mengganggarkan keputusan makmal akan diketahui pada Selasa atau Rabu.
Di sini, Astro AWANI menyenaraikan sembilan lagi kes kehilangan pesawat yang mendapat perhatian dunia.
Air France Flight 447
Pesawat Air France Flight 447 berlepas dari Rio de Janeiro menghala ke Paris pada 31 Mei 2009 hilang hubungan dengan menara kawalan sekitar enam jam kemudian.
Sebahagian daripada serpihan Air France Flight 447 yang dijumpai pasukan SAR. Gambar AFP
Bangkai pesawat hanya ditemui selepas dua tahun bersama-sama perakam data dan sebahagian besar mayat mangsa. Kesemua 228 krew kapal dan penumpang dilaporkan terkorban.
Pihak berkuasa Perancis beranggapan pembekuan ais mengganggu pelarasan kelajuan kapal terbang lantas menyebabkan sistem autopilot terputus hubungan.
Helios Airways Flight 522
Pada tahun 2005, anak-anak kapal Helios Airways Flight 522 dikatakan telah mengabaikan semua transmisi radio walaupun telah menyimpang sedikit dari haluannya iaitu dari Cyprus ke Greece.
Helios Airways Flight 522 adalah nahas penerbangan paling teruk dalam sejarah Greek. Gambar: YouTube AmsterdamAirportHD
Selepas 19 percubaan untuk menghubungi pesawat gagal, dua jet F-16 berlepas untuk memeriksa keadaan. Kedua juruterbang mendapati kerusi juruterbang tidak diduduki manakala pembantu juruterbang tidak menunjukkan sebarang reaksi. Topeng oksigen dilihat tergantung dari siling.
117 penumpang dan krew kapal dilaporkan sesak nafas beberapa jam selepas pesawat berlepas. Sistem autopilot terus menerbangkan Helios Airways Flight 522 sebelum terhempas di lereng bukit di Greece.
Boeing 727-223
Boeing 727-223 dilaporkan hilang di ruang udara Luanda, ibukota negara Angola. Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Quatro de Fevereiro pada 25 Mei 2003 dan menghala ke Burkina Faso.
Terdapat laporan bercanggah mengenai jumlah individu yang menaiki pesawat itu namun jurutera penerbangan, Ben Charles Padilla dipercayai salah seorang daripadanya.
Kehilangan Boeing 727-223 mencetuskan pencarian menyeluruh oleh FBI dan CIA. Gambar Twitter Brianharrison72
Pesawat itu dikatakan berlepas dengan lampu yang tidak menyala serta transponder yang tidak berfungsi. Boeing 727-223 tidak pernah dijumpai malah tiada sebarang maklumat mengenai lokasinya diketahui sehingga kini.
Egyptair Flight 990
Egyptair Flight 990 pada mulanya dijadualkan berlepas dari Los Angeles, membuat persinggahan di New York sebelum meneruskan penerbangan ke Kaherah pada 31 Oktober 1999.
Namun pesawat jenis Boeing 767 itu dilaporkan terhempas di lautan Atlantik selepas terjunam hampir 14,000 kaki dalam tempoh 36 saat.
Serpihan pesawat yang ditemui menguatkan pelbagai spekulasi mengenai punca nahas. Gambar AFP
Pihak berkuasa Mesir menyatakan kegagalan mekanikal menjadi penyebab utama namun pergelutan dalam kokpit serta kes bunuh diri juruterbang atau pembantu juruterbang turut dimainkan sebagai teori nahas.
Aer Lingus Flight 712
Siasatan rasmi merangkumkan satu insiden luar biasa menyebabkan nahas Aer Lingus Flight 712 pada tahun 1968 yang mengorbankan 61 orang.
Pesawat Aer Lingus Flight 712 dijadualkan untuk singgah di Zürich dan Singapura sebelum tiba di Sydney. Kredit foto - Twitter airliners_net/Cliff Newman
Pemeriksaan terhadap ekor kiri pesawat mencadangkan satu lekuk terhasil dari hentaman yang kuat. Pada mulanya dianggarkan pertembungan dengan seekor burung menyebabkan perkara itu berlaku namun beberapa saksi mendakwa melihat misil British menembak jatuh pesawat penumpang itu.
Kerajaan British menafikan penglibatan mereka dalam nahas berkenaan namun bukti terkumpul tidak menolak andaian yang sama.
British Stardust
Kehilangan pesawat British Stardust hampir tujuh dekad lalu menjadi berita hangat lantaran usaha mencari dan menyelamat menemui jalan buntu. Pesawat malang itu berlepas dari Buenos Aires dan menuju ke Chile pada 2 Ogos 1947.
Lima krew kapal beserta enam penumpang dilaporkan terkorban dalam insiden pada 1947 itu. Gambar Twitter MundoAviacion
Pencarian tetap diteruskan selama 50 tahun dan akhirnya pada 2000 bangkai pesawat ditemui tertimbus mendap dalam glasier di kawasan pergunungan Andes di Argentina.
Kod Morse terakhir yang dihantar Stardust adalah perkataan ‘STENDEC’. Maksudnya masih dianggap misteri sehingga ke hari ini.
Flight 19
Penerbangan 19 merujuk kepada lima angkatan pengebom Tentera Laut Amerika Syarikat yang hilang di luar pantai Florida pada 5 Disember 1945. Seorang jurulatih penerbangan bersama empat juruterbang lain mengemui angkatan itu.
Kawasan di mana hilangnya angkatan Flight 19 turut dikenali sebagai Segi Tiga Bermuda. Gambar Twitter history.com
Transmisi terakhir radio menunjukkan bahawa angkatan Flight 19 sesat apabila kompas didapati tidak berfungsi. Hubungan terputus sebelum masalah utama dikenalpasti mahupun diselesaikan.
Pesawat peronda yang dihantar untuk mencari juga turut hilang. Tiada kesan mahupun petunjuk ditemui yang boleh menjurus kepada perjumpaan angkatan Flight 19.
Pesawat Tentera Udara Diraja British
Sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja British yang sesat terhempas di padang pasir Sahara, Mesir pada 28 Jun 1942. Pesawat jenis P-40 Kittyhawk itu dianggarkan hilang ekoran usaha mencari gagal membuahkan hasil.
Pesawat P-40 yang terhempas pada 28 Jun 1942 ditemui di padang pasir Sahara pada 11 Mei 2012. - Gambar YouTube RafSquadron
Pada tahun 2012, seorang pekerja syarikat petroleum menemui bangkai pesawat terbabit selepas tujuh dekad nahas berlaku. Sebahagian besar pesawat masih dalam keadaan yang baik dengan fiuslaj, sayap, ekor dan kokpit tidak terlalu terjejas.
Namun tiada perkhabaran mengenai juruterbangnya mahupun punca nahas.
Amelia Earhart
Kehilangan pesawat yang dikemudi Amelia Earhart merupakan salah satu misteri paling popular dalam sejarah penerbangan dunia.
Juruterbang berusia 39 tahun itu berazam untuk menjadi wanita pertama terbang mengelilingi dunia pada tahun 1937 menaiki menaiki pesawat Electra yang dikuasakan dwi-enjin.
Amelia Earhart adalah juruterbang wanita pertama terbang solo merentasi Lautan Atlantik. - Gambar AFP
Transmisi radio dan laporan terakhirnya kurang jelas dan tidak dapat ditafsir maksudnya. Kerajaan Amerika Syarikat menghentikan pencarian selepas usaha mencari yang menelan belanja AS$4 juta (RM15.3 juta) dan meliputi 250,000 batu persegi lautan gagal menmui apa-apa petunjuk.
0 comments:
Post a Comment