Latest News

Friday 14 August 2015

BDB Land, Maybank Meterai Pembiayaan Bernilai RM280 Juta




Bahagian pembangunan hartanah Bina Darulaman Bhd, BDB Land Sdn Bhd memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM280 juta dengan Malayan Banking Bhd (Maybank).

Ia berkata daripada jumlah itu, RM230 juta adalah untuk Kemudahan Pembiayaan Pinjaman Berjangka dan RM50 juta bagi 'Cash Line-i'.

Pengarah Urusan Bina Darulaman Group, Datuk Izham Yusoff berkata Kemudahan Pembiayaan Pinjaman Berjangka itu adalah untuk kos pembinaan dan perbelanjaan pembangunan bagi pembangunan semula Bandar Darulaman (Darulaman 2.0), di Jitra, Kedah.

"Kemudahan pembiayaan ini kebanyakannya untuk mempertingkat keupayaan kami menjalankan dan mempercepatkan fasa seterusnya Darulaman 2.0," katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian perjanjian antara BDB, Maybank dan OCBC Al-Amin, di sini Khamis.

Darulaman 2.0 yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM858 juta, merangkumi projek perbandaran Taman Tunku Intan Safinaz (TTIS), kompleks kelab golf dan kondominium baharu, Dataran Darulaman, Darulaman Hills dan Darulaman Park yang dinaik taraf.

Majlis disaksikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Dalam ucapannya, Mukhriz berkata kerajaan negeri Kedah menyasarkan untuk membina 40,000 rumah bagi semua kumpulan pendapatan menjelang 2018.

"Setakat ini 28,081 unit telah diluluskan dan kini dalam pelbagai peringkat pembinaan.

"Usaha sedang diambil untuk menyediakan lebih banyak perumahan kos rendah dan mampu milik bagi rakyat. Permintaan terhadap rumah jenis ini di Kedah jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain memandangkan sebahagian besar rakyat adalah dalam kelompok berpendapatan rendah," katanya.

Sementara itu, BDB Infra Sdn Bhd, bahagian pembinaan dan kuari Bina Darulaman, memeterai perjanjian bernilai RM40.4 juta dengan OCBC Al-Amin Bank Bhd untuk kemudahan pembiayaan Islam.

Wang akan diguna untuk membiayai loji pracampur dan kemudahan kuari di Sungai Ular, Kulim serta projek penyelenggaraan negeri merangkumi enam daerah di Kedah.

Pada 1 Jun lalu, BDB Infra menerima surat anugerah daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan selama tiga tahun bermula 10 Jun 2015 di enam daerah dengan kontrak bernilai RM209.9 juta.

Selain projek jalan negeri, Izham berkata BDB Infra juga dijangka menyertai projek menaik taraf terusan pengairan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Ini dijadualkan dilaksana pada suku ketiga tahun ini sebaik proses pengambilalihan tanah oleh kerajaan selesai.

Izham berkata untuk tahun depan, kumpulan menjangka pembangunan 611 unit rumah dan pangsapuri mampu milik dapat menghasilkan GDV keseluruhan RM193 juta manakala bagi 2017 pula, pembangunan 289 unit rumah di TTIS akan menjana GDV RM143 juta.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: BDB Land, Maybank Meterai Pembiayaan Bernilai RM280 Juta Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top