Latest News

Thursday, 13 August 2015

DS Mukhriz Rasmi Kejohanan Sukan MAKSPEN Kedah (Ucapan Penuh)


UCAPAN

YAB. DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN SUKAN MAKSPEN KEDAH KE-13 TAHUN 2015
DI STADIUM UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
SINTOK, KEDAH

PADA 12 OGOS 2015


Assalamualaikum w.b.t.
Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata


Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah SWT, pada malam ini dapat kita bersama-sama memeriahkan Majlis Perasmian Kejohanan Sukan MAKSPEN Kedah kali ke-13. Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di atas penghormatan untuk merasmikan temasya sukan kali ini. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga KKLW, terutama KEDA sebagai tuan rumah serta semua pihak yang terlibat atas komitmen tinggi dalam melaksanakan Sukan MAKSPEN.

Saya juga ingin mengucapkan Selamat Datang kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob, kali pertama ke Negeri Kedah Darul Aman sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Juga kepada seluruh warga KKLW yang terdiri daripada 15 agensi dari seluruh Negara, Selamat Datang ke Negeri Kedah Darul Aman.

Saya berharap semua atlet-atlet akan berasa selesa dan tenteram sepanjang berada di Kedah sejajar dengan namanya Kedah Darul Aman. Temasya sukan ini bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri yang dalam persiapan bagi menyambut Tahun Melawat Kedah, Discover Kedah pada tahun hadapan.

Sesungguhnya Sukan MAKSPEN ini merupakan Sukan Kedua yang terbesar dianjurkan di Kedah selepas dari SUKMA. Terima kasih diucapkan kepada semua yang berada di sini, pada malam ini kerana membantu memeriahkan Negeri Kedah Darul Aman. Jangan hanya berhenti di sini, jangan hanya berada di UUM sahaja, tetapi terokalah seluruh Negeri Kedah, kerana di sini terdapat pelbagai tempat yang menarik dan bersejarah yang boleh dilawati oleh anda semua.

Negeri Kedah juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada KKLW kerana telah banyak menyalurkan dana kepada agensinya seperti KEDA, RISDA, Felcra, KEMAS dan lain-lain yang membantu meletakkan Kedah setanding dengan negeri-negeri lain yang maju di Malaysia ini.

Dana yang disalurkan juga banyak membantu mengurangkan jurang yang besar di antara penduduk luar bandar dan juga bandar. Ini juga kerana berkat usaha dan kegigihan kakitangan KEDA dan juga agensi yang berada di bawah KKLW yang tidak pernah kenal jemu membantu,turun padang bersama-sama dengan pemimpin untukmembantu masyarakat luar bandar secara khususnya.

Sebagai contoh, Universiti Utara Malaysia juga dahulunya berada di dalam hutan belantara. Dibangunkan dan dijadikan sebuah Pusat Pengajian Tinggi, UUM kinimenjadi tumpuan bukan sahaja bagi pelajar di dalam Malaysia malahan pelajar dari luar negara. Malahan kalau kita lihat di sekitar laluan ke UUM telah berkembang pesat dan pelbagai kemudahan sudah boleh diperolehi.

Yang Berhormat Dato’ Seri, Dato-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sesungguhnya Sukan MAKSPEN ini bukan sahaja menjadi platform untuk bersukan bagi melahirkan warga yang sihat, cergas dan produktif. Ianya juga dapat memupuk semangat kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi dalam sesebuah organisasi. Peluang bersukan dan berjumpa dengan rakan-rakan agensi ini seharusnya dimanfaatkan untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan, kekitaan dan kekeluargaan khususnya dalam kalangan warga KKLW serta agensi-agensi di bawahnya.

Saya percaya semangat yang dicetuskan menerusi kejohanan Sukan MAKSPEN ini berupaya menjadikan warga KKLW ini lebih aktif, ceria dan sihat dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seterusnya mencapai visi dan misi KKLW untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Suka saya tekankan bahawa kita memerlukan penjawat awam yang bukan sahaja berpengetahuan dan terlatih tetapi juga cergas, prihatin dan pada masa yang sama sentiasa fokus kepada bidang tugas yang telah diamanahkan.

Menyedari kepentingan sukan kepada diri dan organisasi kita, saya menyarankan agar semangat dan budaya bersukan hendaklah sentiasa disemarakkan dalam diri masing-masing. Bersukan tidak seharusnya dipandang sebagai aktiviti yang membebankan, tetapi ia adalah satu medium untuk kita kekal cergas dan aktif. Justeru, marilah kita bersama-sama menjadikan sukan dan riadah sebagai rutin dan amalan seharian bagi mengekalkan kesihatan diri sekaligus menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.

Pada kesempatan ini juga, suka saya berpesan kepada semua peserta untuk bertanding dengan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi. Tunjukkan semangat berpasukan dan kepimpinan serta daya juang yang tinggi. Saya juga berharap agar semangat juang yang tinggi mampu diterjemahkan melalui kualiti kerja yang cemerlang, yang seterusnya menjana peningkatan produktiviti yang tinggi dalam kerja-kerja seharian kita.

Akhir kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga KKLW atas usaha gigih dan penuh komited ini. Saya ucapkan selamat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan setiakawan yang tinggi.
Dengan lafaz Bismillahirahmannirahim, saya dengan ini merasmikan Kejohanan Sukan MAKSPEN Kedah, KKLW kali ke -13 ini.

Sekian. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: DS Mukhriz Rasmi Kejohanan Sukan MAKSPEN Kedah (Ucapan Penuh) Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top