Latest News

Thursday 13 August 2015

Flaperon Lalui Proses Wajar Sebelum Dibawa Balik


Serpihan yang ditemui di Maldives, dipercayai sebahagian daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, sedang menjalani proses sewajarnya sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk dianalisis oleh pakar-pakar antarabangsa, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pada masa ini, pasukan penyiasat Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berada di Maldives untuk memeriksa serpihan itu.

"Jika perlu, kami akan membawa serpihan itu untuk pengesahan selanjutnya.

"Serpihan itu sedang menjalani proses sewajarnya untuk membolehkannya dikeluarkan dan dibawa pulang ke Malaysia untuk proses pengecaman dan pengesahan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Nissan 4S di Glenmarie di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, adalah 'terlalu awal' untuk membuat spekulasi pada masa ini sama ada serpihan itu mempunyai kaitan dengan pesawat MAS yang hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pada 6 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa serpihan dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion milik Perancis ialah daripada pesawat MH370.

Tiong Lai berkata, Malaysia juga menghantar satu lagi pasukan ke Pulau Reunion untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan mencari lebih banyak serpihan.

"Kami berharap dapat menemui lebih banyak serpihan di pulau itu. Kami sedang mengumpulkan lebih banyak bukti dan serpihan di negara-negara kepulauan yang berhampiran," katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada sebahagian daripada serpihan yang ditemui di tapak nahas MAS Penerbangan MH17 di timur Ukraine kemungkinan cebisan sistem peluru berpandu buatan Rusia.

Beliau meminta semua pihak menunggu dengan sabar kerana laporan muktamad yang terperinci akan dikeluarkan pada Oktober ini untuk mengenal pasti punca nahas itu.

Pendakwa raya dari Belanda yang mengetuai siasatan antarabangsa dilaporkan berkata sesetengah daripada serpihan yang ditemui di tapak nahas pesawat MAS MH17 di timur Ukraine mungkin cebisan daripada sistem peluru berpandu buatan Rusia.

"Kami mempunyai tujuh cebisan, tujuh cebisan yang kami kenal pasti bukan sebahagian daripada pesawat, dan siasatan lanjut menghasilkan kesimpulan bahawa ia mungkin sebahagian daripada sistem peluru berpandu dan sistem peluru berpandu BUK," ketua penyiasat Fred Westerbeke dilaporkan memberitahu Reuters.

Pesawat Boeing 777 MAS itu dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 dan mengorbankan kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat itu termasuk 43 warga Malaysia. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Flaperon Lalui Proses Wajar Sebelum Dibawa Balik Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top