TANJONG KARANG - Ahli Umno yang hilang jawatan atau tewas dalam pilihan raya umum (PRU) dinasihatkan supaya tidak kecewa kerana segala yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah mengambil iktibar daripada setiap kegagalan atau kekalahan.
"Mungkin kita tiba-tiba hilang jawatan atau kalah dalam PRU atau pemilihan parti dan mungkin itu mengecewakan tetapi percayalah, ALLAH ada perancangan lebih baik untuk kita.
"Saya dalam politik terumbang-ambing...sekejap turun, naik tetapi lebih banyak turun di mana saya tewas pemilihan ketua pemuda dan naib presiden. Tetapi saya tenang sahaja kerana saya tahu Allah akan beri yang lebih baik pada saya.
Tidak ada keadaan yang mustahil bagi kita," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah dalam pada itu menasihatkan ahli Umno khususnya di negeri dikuasai pembangkang supaya benar-benar menjuarai rakyat dalam usaha mengembalikan negeri itu semula kepada Barisan Nasional (BN).
"Seperti kami di Kedah, ketika kami kehilangan negeri ini pada PRU12, kami ambil pandangan daripada Terengganu yang berjaya dirampas semula daripada pembangkang dan dari situ kami benar-benar faham apa sebenarnya rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk bagaimana nak selesaikannya.
"Kami bergerak seperti NGO dengan berkempen di sana sini dan respons kami terima begitu luar biasa di mana kami dapati memang banyak perkara rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.
"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin berkongsi pengalaman, saya tahu situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan Kedah berbeza namun mungkin ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan suntikan semangat," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment