Latest News

Tuesday 4 August 2015

Kedah Negeri Pertama Bakal Guna Aplikasi Pelancongan Pintar


Aplikasi Pelancongan Pintar yang dibangunkan oleh Telekom Malaysia bakal digunakan oleh Kerajaan Kedah bagi merancakkan sektor pelancongan Kerajaan Kedah sempena tahun melawat Kedah tahun hadapan.

Exco Pelancongan Kedah Dato Mohd Rawi Abd Hamid berkata aplikasi itu memudahkan pelancong tempatan dan asing mendapat informasi tentang Langkawi menerusi telefon pintar.

Beliau berkata pelancong tidak lagi perlu ke kaunter informasi pelancongan bagi mendapatkan pelbagai maklumat seperti destinasi pelancongan, restoran, balai polis dan keadaan cuaca di pulau legenda itu.

Menerusi aplikasi itu, katanya, ia juga dapat membantu pelancong asing mendapatkan maklumat mengenai harga tiket dan waktu pusat pelancongan Underwater World, beroperasi.

"Pelancong dapat menerokai tempat pelancongan menarik sebaik sahaja tiba di Pulau Legenda itu menerusi aplikasi itu," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama Projek Pelancongan Pintar Langkawi di sini hari ini.

Mohd Rawi berkata aplikasi berkenaan juga dapat membantu pelancong asing mendapatkan khidmat pasukan keselamatan seperti polis sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Mereka mungkin tidak tahu di mana balai polis dan hospital, tetapi dengan aplikasi itu mereka mudah untuk mendapatkan maklumat dengan terperinci bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Beliau berkata pemilihan Langkawi sebagai projek perintis kerana mempunyai pelbagai kemudahan infrastuktur seperti kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Katanya penggunaan aplikasi itu juga bakal digunakan di kawasan lain seperti di Alor Setar dan Sungai Petani yang turut mempunyai destinasi pelancongan menarik untuk dilawati.

Beliau berkata dengan adanya aplikasi yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini, ia diharap mampu menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi sempena Tahun Melawat Kedah 2016.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Negeri Pertama Bakal Guna Aplikasi Pelancongan Pintar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top