Latest News

Sunday 2 August 2015

Jemaah Haji Malaysia Terus Nikmati Subsidi


Kos jemaah muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang walaupun kos sebenar ibadat tersebut terus meningkat saban tahun.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Johan Abdullah berkata, kos sebenar ibadat haji pada tahun ini meningkat kepada RM17,270 seorang berbanding RM16,115 seorang tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, Tabung Haji perlu menanggung sebanyak 42 peratus daripada kos sebenar bagi membolehkan jemaah haji dari Malaysia terus menikmati subsidi dan membayar pada harga sama pada tahun ini.

“Daripada RM17,270 kos sebenar pada tahun ini, Tabung Haji menanggung sebanyak RM7,290 bagi setiap jemaah muassasah bagi memastikan bayaran haji dikekalkan RM9,980 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri 1436H/2015M membabitkan 1,500 bakal jemaah haji di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Tabung Haji negeri, Wahyudin Tamami.

Johan dalam pada itu membe­ritahu, pihak Tabung Haji menghargai komitmen kerajaan Pas Kelantan dalam membantu melancarkan urusan penghantaran jemaah haji dari negeri ini.

Kata beliau, pada tahun ini, kerajaan negeri memberi peruntukan sebanyak RM230,000 bagi menjayakan enam penerbangan sewa khas secara transit terus Kota Bharu - Kuala Lumpur - Madinah atau Jeddah membabitkan 960 jemaah haji.

“Diharap penerbangan ini dite­ruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji dari negeri ini,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Jemaah Haji Malaysia Terus Nikmati Subsidi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top