Latest News

Sunday 2 August 2015

TPM Nafi Spekulasi Perubahan Kepimpinan Tertinggi Di Beberapa Negeri


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi bahawa terdapat perubahan dalam kepimpinan tertinggi beberapa negeri seperti Perak dan Kedah berikutan rombakan kabinet baru-baru ini.

Beliau memberi jaminan bahawa kepimpinan tertinggi negeri terutama di Perak adalah kekal.

"Kami memberi kepercayaan serta keyakinan sepenuhnya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk terus memimpin negeri Perak," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata di dalam perkara ini, pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketua negara dan presiden parti adalah jelas.

"Yang penting adalah dokongan daripada semua pihak dan ia tidak harus terkait dengan keputusan Kabinet yang lalu kerana ia melibatkan rombakan di peringkat nasional.

"Saya tidak mahu mendahului Perdana Menteri dalam membuat keputusan tetapi yakinlah bahawa tidak akan berlaku rombakan atau sebarang pertukaran di mana-mana negeri dan jangan timbul spekulasi mengenainya, jangan ada perasaan dalam hati pemimpin berkenaan bahawa mereka akan disingkir," katanya.

Ahmad Zahid berkata apa yang penting ialah semua pihak perlu setia dan menyokong kepimpinan parti.

"Setialah kepada kepimpinan, beri sokongan kepada kepimpinan dan jangan bimbang kedudukan masing-masing," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung spekulasi beberapa Menteri Besar akan ditukar berikutan rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh berkata secara peribadi beliau amat berterima kasih kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahu UMNO terus kukuh.

"Beliau (Muhyiddin) telah menyatakan tidak akan menyertai mana-mana parti pembangkang malah beliau akan membantu kepimpinan parti di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib selaku Presiden UMNO dan insya-Allah saya akan membantu sebagai Naib Presiden untuk memperkukuh kepimpinan dalam UMNO, bersama-sama dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Saya juga telah menghubungi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk kami, ketiga-tiga naib presiden dapat membantu presiden dan timbalan presiden untuk terus memperkukuh parti.

"Saya minta jangan ada sebarang spekulasi dan analisis yang negatif terhadap pendirian Tan Sri Muhyiddin ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata secara peribadi beliau amat menghargai pendirian Muhyiddin dan berharap ia dapat diterjemah dalam tindakan sokongan terhadap agenda dan aktiviti UMNO.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: TPM Nafi Spekulasi Perubahan Kepimpinan Tertinggi Di Beberapa Negeri Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top