Ini mengakibatkan lebih 1,000 anak pokok kelapa sawit yang baru ditanam milik dua pekebun di sini musnah sama sekali, selain memusnahkan lebih 1,300 pokok kelapa sawit yang baru mengeluarkan hasil seluas 87 hektar di Kampung Seri Ketengga milik ladang Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seri Ketengga, Md Zali Mat Piah, 56, kumpulan gajah itu dikesan sejak beberapa bulan lalu, bagaimanapun semakin agresif dan ganas sejak dua hari lalu terutama pada waktu malam.
Jelasnya, kejadian itu sudah pun dilaporkan kepada polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Seorang pekebun dari Kampung Seri Ketengga, Ibrahim Awang, 57, berkata dia terserempak dengan kumpulan gajah tersebut ketika meninjau kawasan kebunnya yang baru ditanam dengan pokok kelapa sawit sejak beberapa bulan lalu.
"Pagi ini saya terserempak dengan kumpulan gajah itu yang melarikan diri ke dalam kawasan kebuh getah berdekatan setelah saya mengetuk tin untuk menghalaunya," jelasnya.
Sementara itu, bekas pesara Razali Che Man 62, yang mengusahakan tanah seluas lebih 2.8 hektar dengan kelapa sawit, kecewa kerana lebih 250 anak kelapa sawit yang baru dihantar oleh pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dua hari lalu turut dimusnahkan gajah.
Hari ini Perhilitan daerah Baling menghantar anggotanya meninjau ke kawasan yang dilaporkan diganggu gajah. - Bernama
0 comments:
Post a Comment