Latest News

Saturday 5 September 2015

Cadangan Petani Dikecualikan GST Akan Dipanjangkan Kepada Kerajaan Pusat - MB Kedah


Kerajaan negeri akan memanjangkan cadangan Pertubuhan Peladang Negeri Kedah kepada kerajaan pusat supaya golongan petani dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata ketika ini golongan petani terpaksa membayar GST pada kadar tinggi ke atas perkhidmatan seperti lori dan logistik lain.

"Industri pertanian khususnya padi, banyak subsidi diterima, tapi walaupun begitu ia tetap sektor penting kerana jaminan bekalan makanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kedah kali ke-32 di sini.

Cadangan pengecualian GST tersebut dikemukakan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kedah Abd Lateh Md Saman dalam ucapannya pada majlis itu.

Menteri Besar berkata Kedah ketika ini memperuntukkan sehingga 240,000 hektar tanah hutan untuk kawasan penanaman padi dan empangan demi menjamin bekalan makanan negara walaupun kawasan itu berpotensi memberi pulangan lebih lumayan untuk projek lain.

Terdahulu, Mukhriz dalam ucapannya mengingatkan pertubuhan peladang supaya tidak leka dengan kemasukan pelaburan langsung asing yang besar, penghapusan tarif tertentu serta kewujudan perdagangan di antara negara ASEAN.

Kesemua itu, menurutnya, dilihat memberi kesan dari aspek peluang perniagaan, dan sekiranya pertubuhan peladang tidak mempersiapkan diri, mereka akan ketinggalan.

Sehubungan itu katanya, pertubuhan peladang perlu meningkatkan produktiviti melalui aktiviti yang berasaskan inovasi dalam sistem tanaman, kejenteraan ladang dan keberkesananan penggunaan jentuai.

"Melalui penguasaan teknologi maklumat atau lain-lain teknologi yang berkaitan dengan bidang usaha di pertubuhan peladang, maka kerja-kerja dapat dihasilkan dengan pantas dan cekap," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Cadangan Petani Dikecualikan GST Akan Dipanjangkan Kepada Kerajaan Pusat - MB Kedah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top