Latest News

Thursday 3 September 2015

Kompaun RM50 Bagi Kesalahan Pertama Gagal Asing Sisa Pepejal Mulai 1 Jun 2016



Kompaun sebanyak RM50 akan dikenakan bagi kesalahan pertama pengasingan sisa pepejal di punca mulai 1 Jun 2016, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Manakala kompaun bagi kesalahan kedua dan ketiga di bawah Akta 672 iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pula ialah sebanyak RM100 dan RM200, katanya.

Jika pengguna masih berdegil untuk melaksanakan amalan pengasingan sisa pepejal baharulah mereka di bawah ke mahkamah dan boleh didenda tidak melebihi RM1,000, katanya.

"Dalam tempoh sembilan bulan sehingga 1 Jun, kerajaan akan menggunakan pendekatan mendidik masyarakat mengenai pengasingan sisa pepejal di punca diikuti dengan notis dan amaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca di sini Selasa.

Tujuh negeri terlibat dalam pelaksanaan sisa pepejal di punca yang bermula hari ini iaitu Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Pahang.

Abdul Rahman berkata kerajaan tidak mahu menekankan tindakan mendenda terhadap mereka yang tidak mengasingkan sisa pepejal kerana ingin menyemai kesedaran tersebut terlebih dahulu.

"Masyarakat yang mempunyai amalan kitar semula yang tinggi merupakan masyarakat yang tinggi peradabannya," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan peraturan itu, Abdul Rahman berkata ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana amalan berkenaan sudah diguna pakai di kebanyakan taman perumahan sejak September tahun lepas.

Bagi penduduk yang menetap di bangunan berstrata, Jawatankuasa Pengurusan Bersama pangsapuri atau kondominium akan berperanan mengingatkan penduduk untuk mengasingkan sisa pepejal masing-masing, katanya.

Pada majlis hari ini juga, 1.35 juta botol plastik bernilai RM12,000 berjaya dikumpulkan oleh SW Corp Malaysia sehingga dicatatkan dalam Malaysia Books of Record sebagai 'pengumpulan botol kita semula terbanyak'.

Botol-botol plastik berkenaan akan dijual kepada vendor yang dilantik dan wang yang diraih akan disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan termasuk Majlis Kanser Nasional.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kompaun RM50 Bagi Kesalahan Pertama Gagal Asing Sisa Pepejal Mulai 1 Jun 2016 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top