Latest News

Thursday 8 October 2015

Tiga Beradik Warga Emas Akan Dapat Rumah Baru

Setelah kisah tiga beradik warga emas yang tinggal di sebuah rumah usang di sini disiarkan Bernama semalam, banyak pihak memberi perhatian termasuk Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) yang akan membantu mendapatkan rumah baru untuk mereka.

Pegawai Bahagian Korporat JZNK Ahmad Hambali Mohd Fuad berkata pihaknya akan cuba bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi membantu tiga beradik ini mendapat rumah baru yang lebih selesa.

"JZNK tidak dapat membantu dari segi bina rumah baru kerana untuk membina rumah baru mereka perlu mempunyai tanah sendiri manakala bantuan untuk membaiki rumah juga tidak boleh diberi kerana ia merupakan rumah sewa.

"Tapi kita akan cuba membantu untuk mendapatkan rumah flat kawasan berdekatan sekiranya terdapat kekosongan. Mereka sekarang duduk di atas tanah rizab kerajaan jadi sekiranya diberi notis untuk keluar, kita akan bantu dengan menyediakan rumah sewa sementara sebelum mereka dapat mencari rumah lain," katanya.

Zulkifli Kassim, 61, berkata beliau bersama abangnya Mohamed, 78, dan kakaknya, Zainab, 69, bersyukur kerana JZNK akan membantu mencari rumah untuk mereka bertiga bagi menjalani sisa-sisa kehidupan.

"Saya gembira kerana ada pihak yang sudi membantu...Sekiranya mendapat rumah baru ia dapat membantu kami untuk hidup dengan lebih selesa kerana rumah yang dihuni sekarang sudah usang selain dikelilingi semak-samun dan rumah-rumah kosong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulkifli tinggal bersama abang dan kakaknya di sebuah rumah usang di Kampung Jalan Lumpur, di sini yang hanya dilengkapi sebuah bilik selepas kematian ibu bapa mereka 20 tahun lepas.

Mereka bertiga yang tidak berkahwin bertekad untuk hidup bersama dan tidak rela berpisah, walaupun hidup dalam kemiskinan selain dua daripada mereka menghidap pelbagai penyakit seperti lelah kronik, darah tinggi dan kencing manis.

Ahmad Hambali berkata selain bantuan berjumlah RM750 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), salah seorang daripada mereka telah mendapat bantuan zakat bernilai RM450 melalui Skim Bantuan Fakir Bulanan sejak bulan Mei lalu.

-- BERNAMA

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tiga Beradik Warga Emas Akan Dapat Rumah Baru Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top