Latest News

Wednesday 7 October 2015

Video perkahwinan pengubat rindu


ALOR SETAR - Kepulangan isteri jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam insiden rempuhan di Mina, Zulkifly Samad, 50, disambut dengan linangan air mata oleh ahli keluarganya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), pagi semalam.

Suriahanim Abd Hamid tidak mampu menahan sebak sebaik tiba di LTSAH bersama ibunya, Rohani Yusoff, 75, sebaik menatap wajah anaknya, Hasan Zakiy, 2, hasil perkahwinan dengan Allahyarham Zulkifly, tiga tahun lalu.

Suriahanim ketika ditemui berkata, biarpun berat hati untuk meninggalkan tanah suci berikutan Allahyarham Zulkifly dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ik di Makkah, namun pada masa sama dia amat merindui dua anaknya, iaitu Hasan Zakiy dan anak sulungnya, Muhammad Syafiq Mohd Azmi, 16, hasil perkahwinan terdahulu.


“Sebelum bertolak ke Mina, saya dan suami saling bermaaf-maafan jika ada salah dan silap, serta minta diampunkan dosa sepanjang kami bersama. Saya sudah maafkan dia, walaupun tidak pernah arwah buat salah. Itulah kenangan terakhir sebelum saya kehilangan arwah,” katanya.

Menurutnya, walaupun masih bersedih namun, dia reda dengan pemergian Allahyarham dan akan meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak tersayang.

“Dia pergi dengan cara dan keadaan yang baik serta dalam keadaan berihram. Arwah juga tidak meninggalkan sebarang pesanan terakhir buat saya,” katanya yang tiba melalui penerbangan dari Jeddah bersama 277 jemaah haji.

Eksekutif Kanan Akaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu berkata, bagi mengubat kerinduan kepada Allahyarham, beliau akan melihat kembali video perkahwinan yang dihasilkan arwah sebulan selepas mereka berkahwin.

“Video itu koleksi gambar perkahwinan kami, disimpan dalam telefon bimbit untuk mudahkan saya menonton setiap kali teringatkan suami. Itulah kenangan sepanjang hidup kami bersama,” katanya.

Suriahanim berkata, mereka sekeluarga menunggu masa sesuai memberitahu anaknya, Hasan Zakiy mengenai insiden meragut nyawa bapanya kerana anak kecil itu masih belum mengerti apa yang berlaku.

“Kalau nak beritahu sekarang, mungkin dia tidak faham kejadian ini. Bila dia faham, baru saya akan cerita kepadanya,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu sering melihat gambar arwah ayahnya menerusi telefon bimbit ibu saudaranya sepanjang mereka di Makkah.

Suriahanim juga bercadang untuk menziarahi pusara arwah suaminya tahun depan bagi meneruskan niat arwah yang sebelum ini berhasrat menunaikan umrah seperti dirancang.

Allahyarham Zulkifly antara lebih 700 jemaah haji yang terkorban dalam kejadian rempuhan yang berlaku pada jam 11.30 pagi (waktu Arab Saudi), 24 September lalu di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab, yang terletak kira-kira empat kilometer dari perkhemahan jemaah Malaysia.

Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Video perkahwinan pengubat rindu Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top