Latest News

Tuesday 17 November 2015

#BajetKedah2016 : Ucapan Penuh Bajet Kedah 2016



UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ BIN TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN


PEMBENTANGAN BAJET 2016 NEGERI KEDAH DARUL AMAN


MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA
SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI KALI KE-13

PADA
HARI ISNIN, 16 NOVEMBER 2015

Bismillahirahmanirahim

Segala puji-pujian bagi Allah SWT, Selawat serta Salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga dan Sahabat-sahabat Baginda.

Assalamualaikum w.b.t.
Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Para anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan,
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.


Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya kita semua Ahli-ahli Yang Berhormat dapat hadir di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Kali Ketigabelas pada pagi yang mulia ini.

Bagi memberkati sidang Dewan yang mulia pada pagi ini, izinkan saya mulakan pembentangan Bajet dengan menjunjung tinggi kalimah suci ayat al-Quran yang dipetik dari surah al-Maidah ayat 8, mafhumnya:

“Wahai orang-orang Beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sesekali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

“Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan,
Kalau hidup mahu selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.”

Semoga kita semua mendapat petunjuk dan terungkaplah hendaknya keadilan dan kesaksamaan Bajet Negeri 2016 ini nanti. Ianya dirangka dengan penuh hemah dan kesedaran bahawa Kerajaan Negeri ini menggalas amanah untuk meneruskan kecemerlangan dan mempertingkatkan kejayaan serta kemakmuran demi Rakyat Negeri Kedah Darul Aman, In Shaa Allah.


“Memang pahit buah peria,
Elok dimakan tanaman sendiri,
Memang mengaku taat dan setia,
Bersamalah kita bangunkan Negeri.”

Saya turut bersyukur kerana daripada 92 akujanji Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu, 82 telah berjaya dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan BN yang diberi mandat untuk mentadbir Negeri Kedah Darul Aman tidak menabur janji-janji kosong, sebaliknya menepati segala janji demi kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Rakyat.

Kerajaan amat sukacita melaporkan bahawa salah satu janji Kerajaan kepada Rakyat iaitu untuk menyediakan perumahan yang selesa, mampu dimiliki dan mencapai kumpulan sasar telah dilaksanakan dengan cemerlang. Sehingga kini pembangunan perumahan di negeri Kedah begitu rancak dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Hasrat dan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah sepertimana di dalam akujanji iaitu untuk menyediakan 40,000 unit rumah mampu milik sehingga tahun 2018 telah berada diatas landasan yang amat tepat. Sehingga kini 66 peratus atau 26,617 unit telah atau sedang dibina. Kerajaan amat yakin dalam tempoh sehingga tahun 2018 nanti sasaran Kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik akan tercapai.

Dalam konteks ini juga Kerajaan menyarankan agar pihak swasta menyambut baik pengenalan dasar-dasar yang lebih fleksibel yang telah diumum oleh Kerajaan bagi terus merancakkan industri perumahan di negeri Kedah.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian pasukan bola sepak dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang telah berjaya mencipta sejarah dengan merangkul kejuaraan Liga Perdana Musim 2015, setelah ketandusan piala selama 7 tahun. Kemenangan ini melayakkan Pasukan Hijau Kuning untuk beraksi di Liga Super setelah tiga (3) tahun di Liga Perdana. Kini Kedah sedang beraksi di peringkat suku akhir Piala Malaysia. Ini juga suatu pencapaian yang membanggakan. Semoga kita berjaya menjulang Piala Malaysia pada Disember ini, In Shaa Allah.

Pencapaian setakat ini adalah hasil daripada perancangan teliti dan usaha gigih yang telah kerajaan lakukan bermula dengan program mencungkil bakat di kalangan pemain-pemain muda dan menggandingkan mereka dengan pemain-pemain berpengalaman sehinggalah terbentuk satu pasukan yang mantap.

Resepi dan pendekatan inilah yang menghasilkan kejayaan bagi pelbagai inisiatif yang diusahakan Kerajaan Negeri dalam “Menjamin Kesinambungan Kemakmuran Rakyat".

Bajet 2016 yang dibentangkan hari ini merupakan bajet pertama dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Oleh itu, bajet pada kali ini lebih menumpukan kepada permulaan projek-projek dan program-program yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-11 Negeri Kedah selaras dengan lima (5) teras pembangunan negeri yang ditetapkan iaitu:

1. Penyediaan Infrastruktur Bagi Meningkatkan Keselesaan Rakyat
2. Pembangunan Modal Insan, Sosial dan Agama
3. Kemakmuran Rakyat
4. Menggalak Pertumbuhan Ekonomi, dan
5. Memperkukuh Tadbir Urus Kerajaan Negeri

Dalam bajet persekutuan 2016 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan Malaysia di Dewan Rakyat baru-baru ini, Kedah juga telah menerima sejumlah peruntukan yang besar. Kita menyambut baik dan amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan diatas peruntukan tersebut. Projek ikonik Kedah Rubber City yang telah dirancang dan mula dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah telah disambut baik oleh Kerajaan Persekutuan. Sebanyak RM320 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pengambilan tanah dan penyediaaan infrastruktur di Bukit Ketapang, daerah Padang Terap.

Dalam mempersiagakan modal insan ke tahap berdaya maju, Kedah juga bakal menerima dua institusi pendidikan baharu iaitu Maktab Rendah Sains MARA Ulul Albab di daerah Sik dan Sekolah Berasrama Penuh di daerah Pendang.

Bagi memenuhi keperluan Rakyat, sebuah hospital di Pendang juga akan dibina mulai tahun hadapan. Apabila siap nanti, semua penduduk di daerah Pendang dan kawasan sekitarnya tidak lagi perlu ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk menerima rawatan kecuali bagi kes-kes yang terpaksa dirujuk untuk pemeriksaan dan rawatan pakar.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas, Kerajaan Negeri telah menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup yang menghimpit masyarakat berpendapatan rendah. Alhamdulillah, pandangan ini telah diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan. Beberapa inisiatif strategik telah diumumkan dalam Bajet 2016 Kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban sara hidup golongan tersebut. Antaranya, Inisiatif Pemutuan Sebenar (IPS) Padi dan penambahbaikan skim subsidi harga padi yang akan memberi manfaat kepada 82,800 pesawah di seluruh negeri Kedah.

Untuk golongan pekebun kecil dan penoreh getah pula, Kerajaan Persekutuan akan menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang akan meningkatkan pendapatan mereka.

Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muda yang siap sepenuhnya telah memberi manfaat yang cukup besar kepada penduduk setempat. Selain daripada mengelakkan kerosakan harta benda dan tanaman akibat banjir, projek ini juga menyelesaikan masalah sistem pengairan yang tidak efisyen.

Bajet Persekutuan telah memperuntukkan belanjawan untuk meneruskan pelaksanaan RTB Sungai Kedah – Anak Bukit di daerah Kota Setar yang melibatkan 3 fasa berjumlah RM390 juta, yang apabila siap kelakmampu menyelesaikan masalah banjir di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar. Projek ini telah memasuki fasa kedua di mana melibatkan Projek Lencongan Banjir Sungai Baru di daerah Kota Setar dan fasa ketiga Projek Menaiktaraf Sungai Tanjung Pauh di daerah Kubang Pasu. Selain itu, RTB Sungai Kerian di daerah Bandar Baharu juga sedang berjalan dengan kos sebanyak RM80 juta melibatkan empat pakej utama.

Ini hanyalah beberapa inisiatif daripada banyak lagi yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk manfaat Rakyat negeri Kedah.


BAJET 2016

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, berikut adalah laporan ringkas mengenai Bajet 2015, dan cadangan et 2016 bagi negeri Kedah.

Sehingga 04 November 2015, jumlah hasil sebenar Kerajaan Negeri Kedah ialah RM344.09 juta berbanding jumlah yang diunjurkan bagi tahun 2015 sebanyak RM743.65 juta. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM384.87 juta untuk pengurusan berbanding jumlah yang dibajetkan bagi tahun 2015 sebanyak RM804.6 juta. Selain itu, sebanyak RM85 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan. Kerajaan Negeri sentiasa melakukan pemantauan perbelanjaan dan menggalakkan setiap jabatan melaksanakan langkah-langkah penjimatan supaya kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan terkawal.

Antara sebab jumlah hasil tidak mencapai tahap yang diharapkan ialah ketidakstabilan ekonomi global. Bayaran premium berjumlah RM145.32 juta untuk beberapa projek pembangunan yang telah dirancang dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, pusat percutian dan pembangunan bercampur tidak dijelaskan oleh pemaju kerana ketidaktentuan pasaran. Kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan bayaran premium berkenaan, selain mengambil tindakan terhadap pemohon yang tidak menjelaskannya berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Bagi tanah-tanah yang telah diluluskan kepada Kerajaan Persekutuan tetapi belum dibayar premiumnya, Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menyelesaikan masalah ini. Berdasarkan petunjuk positif yang diterima, Kerajaan Negeri yakin nilai premium tanah berjumlah RM68.2 juta yang diluluskan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dapat dikutip sepenuhnya pada tahun 2016.

Di samping itu, Felcra Berhad pula yang turut mempunyai tunggakan bayaran premium menunjukkan respon positif untuk menjelaskan bayaran premium sebanyak RM19 juta bagi tanah-tanah yang telah diluluskan pemberimilikan untuk lapan (8) skim tanaman getah di seluruh negeri Kedah.

Tema bajet 2016 bagi negeri Kedah iaitu “MENJAMIN KESINAMBUNGAN KEMAKMURAN RAKYAT” akanmenyaksikan corak perbelanjaan yang realistik dan berhemah. Peruntukan mengurus bagi tahun 2016 telah berkurangan sebanyak 2 peratus manakala pembangunan pula diturunkan sebanyak 6 peratus. Bajet 2016 memberi tumpuan kepada keperluan perbelanjaan sebenar dan keupayaan menjana hasil negeri berdasarkan prestasi kutipan tahun-tahun sebelum.

Objektif Kerajaan Negeri bagi bajet 2016 ini dikekalkan seperti mana tahun-tahun sebelum ini dengan lebih memberi fokus terhadap :-

i. pengukuhan kedudukan kewangan negeri,
ii. penambahbaikan infrastruktur asas dan memantapkan prasarana awam,
iii. pembangunan modal insan yang bernilai dan berkualiti tinggi,
iv. pembasmian kemiskinan dan menjamin kelangsungan kemakmuran Rakyat, serta
v. memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Bagi mencapai matlamat bajet, Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah iaitu :

i. memperkukuh kutipan hasil dan memperluas sumber hasil negeri,
ii. merancang perbelanjaan secara optima, dan
iii. mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan ke arah pencapaian sasaran

Bajet 2016 adalah permulaan bagi Rancangan Malaysia ke-11 yang merupakan RMK terakhir sebelum Negara mencapai wawasan 2020 untuk menjadi sebuah Negara yang maju. Cabaran getir yang dihadapi Kerajaan dalam menyediakan bajet ke arah peningkatan pembangunan adalah keterbatasan dana bagi mencapai hasrat negeri dalam usaha memakmurkan Rakyat.

Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri tidak menyediakan peruntukan untuk projek-projek fizikal yang berskala besar, dan sebaliknya menumpukan kepada kerja-kerja menaiktaraf dan pemantapan prasarana awam sedia ada. Bagi melaksanakan projek berskala besar, Kerajaan Negeri akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan percaya dengan terjalinnya hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sumbangan ini akan disalurkan bagi membantu negeri Kedah mencapai Wawasan 2020.

ANGGARAN KUTIPAN HASIL

Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM721,624,745 bagi tahun 2016. Daripada jumlah ini, hasil cukai merupakan penyumbang terbesar dengan an kutipan sebanyak RM441,571,545 atau 61.19 peratus. Disamping itu, terimaanbukan hasil dijangka menyumbang sebanyak RM203,852,150 atau 28.25 peratus. Manakala kutipan sebanyak RM76,201,050 atau 10.56 peratus adalah dianggarkan daripada hasil bukan cukai.

Penyediaan anggaran kutipan hasil negeri dibuat dengan mengambilkira prestasi kutipan hasil tahun-tahun sebelum dan berlandaskan prinsip yang lebih realistik, rasional dan boleh dicapai.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

SEMAKAN KADAR CUKAI SEWA TANAH

Kerajaan telah meluluskan semakan kadar cukai sewa tanah pada tahun 2015 yang akan mula berkuatkuasa pada 01 Januari 2016. Semakan kadar cukai sewa tanah yang terakhir telah dibuat pada tahun 2005 dan mula dikuatkuasakan pada 01 Januari 2006. Namun pelaksanaan kadar semakan berkenaan telah terhenti pada tahun 2008 apabila Kerajaan pada masa itu telah melaksanakan rebat sebanyak 20 peratus iaitu pengurangan hasil sebanyak lebih kurang RM50.0 juta daripada kadar cukai sewa tanah semasa yang perlu dibayar.

Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk membuat semakan dan menyelaras semula cukai sewa tanah secara berkala selepas tempoh sepuluh (10) tahun dari tarikh semakan terakhir. Sehubungan itu, pentadbiran tanah telah merangka semakan kadar cukai sewa tanah dengan lebih terperinci supaya kajian yang dilaksanakan lebih menyeluruh. Pandangan daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan serta perbandingan dengan negeri-negeri lain seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor telah digunakan untuk merangka struktur semakan kadar cukai sewa tanah 2015 dan kadar ini akan digunakan sepanjang tempoh sepuluh (10) tahun akan datang. Selain daripada semakan kadar cukai sewa tanah semasa, pentadbiran tanah juga telah mencadangkan struktur cukai yang merangkumi kategori tanah, syarat nyata tanah serta lokasi tanah agar lebih mudah difahami dan dipraktikkan.

Kerajaan memastikan semakan ini tidak membebankan penduduk yang berpendapatan rendah, khususnya pemilik rumah teres, rumah kos rendah dan rumah murah kerajaan serta kelompok petani. Kerajaan berpandangan bahawa cukai patut dikutip daripada mereka yang mampu. Cukai tidak sepatutnya menjadi beban kepada mereka yang kurang mampu. Dengan yang demikian barulah konsep kutipan cukai adalah lebih adil berbanding dengan pengenaan cukai yang sama rata.

Bagi tahun 2015, jumlah hakmilik tanah di negeri Kedah adalah sebanyak 751,352 dengan jumlah cukai berhak dikutip sebanyak RM130,742,659 setahun. Daripada jumlah ini, 328,232 hakmilik adalah bagi kategori pertanian, 409,308 hakmilik bagi kategori bangunan (perniagaan, kediaman, dan lain-lain), 11,361 hakmilik kategori industri manakala sebanyak 2,451 tanpa kategori seperti hakmilik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Formula yang digunakan dalam semakan tahun 2015 ialah penggunaan satu kadar cukai dan satu kadar minima untuk lot kediaman berdasarkan keluasan tanah, bukan lagi berdasarkan syarat nyata kediaman iaitu teres, berkembar atau banglo. Dengan penggunaan formula ini konsep cukai yang lebih adil dapat dipraktikkan kerana semakin luas lot kediaman maka semakin tinggi cukai yang perlu dibayar. Berbanding dengan sebelum ini apabila kadar cukai dan kadar minima yang berbeza dikenakan bagi jenis rumah yang berbeza maka wujudlah situasi di mana luas lot yang sama tetapi kadar yang perlu dibayar adalah berbeza.

Daripada jumlah 364 ribu hakmilik bersyarat kediaman di seluruh negeri, hanya lapan (8) peratus atau 29 ribu hakmilik sahaja yang akan dikenakan sedikit kenaikan kadar cukai sewa tanah yang baharu ini. Manakala sejumlah besar yang lain akan dikenakan kadar yang sama atau lebih rendah.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
Berdasarkan analisa oleh pentadbiran tanah, sebanyak 112 ribu hakmilik di negeri Kedah adalah tanah kategori pertanian dengan syarat nyata tanaman padi. Sembilan Puluh Lapan (98) peratus daripada jumlah itu tidak akan terkesan dengan semakan kadar sewa tanah

ini kerana pindaan tahun 2015 mengekalkan kadar rebat tahun 2008 iaitu RM15 sehektar bagi keluasan kurang daripada 4.04 hektar, dan RM25 sehektar bagi keluasan 4.04 hingga kurang daripada 10 hektar. Kenaikan kadar sewa tanah hanya berlaku bagi tanah sawah yang berkeluasan melebihi 10 hektar yang mana hanya melibatkan 159 hakmilik sahaja. Mereka ini akan mengalami implikasi kenaikan hanya sebanyak RM5 sehektar berbanding dengan kadar semakan tahun 2005. Manakala, berbanding dengan kadar rebat tahun 2008, perbezaan adalah kenaikan sebanyak RM10 sehektar.

Bagi tanah pertanian selain daripada syarat padi pula berjumlah 132 ribu hakmilik. Analisa menunjukkan hanya 1.16 peratus hakmilik yang berkeluasan melebihi 40 hektar sahaja mengalami sedikit kenaikan daripada semakan kadar cukai sewa tanah. Sebagai contoh, sebuah ladang kelapa sawit yang berkeluasan 40 hektar @ 100 ekar akan dikenakan cukai tanah sebanyak RM6000 setahun. Bagi pemilik ladang besar seperti ini, semakan ini bukanlah satu kadar yang membebankan.

Semakan kadar sewa tanah ini akan memberi pertambahan hasil kerajaan sebanyak RM94 juta setahun. Hasil cukai sewa tanah berulang patut dikutip akan meningkat kepada RM225 juta setahun berbanding kutipan mengikut kadar sedia ada berjumlah RM131 juta. Dengan semakan terbaru ini, Kerajaan akan menerima hasil yang bertambah tanpa membebankan kelompok yang berpendapatan rendah serta masyarakat petani.

ANGGARAN PERBELANJAAN

Bajet 2016 memperuntukkan sebanyak RM794,107,227 untuk perbelanjaan mengurus. Saya mohon mencadangkan daripada jumlah ini, sebanyak RM184,536,845 adalah diperuntukan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang.

Dengan mengambilkira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, Bajet tahun 2016 menganggarkan defisit sebanyak RM72,482,482 berbanding RM68,460,960 bagi tahun 2015. Bajet ini adalah bersifat realistik berdasarkan keupayaan Kerajaan menjana hasil dan keperluan perbelanjaan sebenar. Peningkatan hasil yang telah dikenalpasti adalah daripada caj perparitan serta bayaran premium tanah di bawah pemilikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan juga sektor swasta. Kerajaan menjangkakan hasil negeri akan meningkat berikutan beberapa projek antaranya projek perumahan, pembangunan bercampur, dan tapak industri baharu yang akan dibangunkan di seluruh negeri.

Kerajaan menganggarkan perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2016 adalah berjumlah RM261,036,865. Daripada jumlah ini RM184,536,825 adalah caruman daripada perbelanjaan mengurus dan bakinya adalah pelbagai terimaan dalam Kumpulan Wang Pembangunan. Manakala RM92,730,791 diperuntukkan untuk projek pembangunan bekalan air yang menggunakan peruntukan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pemberian tahunan berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) berjumlah RM24.408 juta. Ini adalah bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri Kedah seperti pembinaan jalan dan jambatan, pertanian, pengairan dan saliran, pembinaan bangunan masjid, surau, sekolah agama, dan peningkatan infrastruktur oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Bagaimanapun, disebabkan keperluan pembangunan di negeri Kedah melebihi daripada had kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan, Bajet 2016 memperuntukkan sebanyak RM28.02 juta melalui pelbagai jabatan negeri bagi melaksanakan projek-projek TAHAP. Kerajaan berharap agar lebihan sebanyak RM4.2 juta ini akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.


Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, lima teras utama pembangunan negeri sepertimana yang saya sebutkan tadi adalah seperti berikut :


Teras 1 : Penyediaan Infrastruktur Bagi Meningkatkan Keselesaan Rakyat

Penyediaan infrastruktur yang bersesuaian adalah perlu dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi masa kini. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM45.96 juta kepada Jabatan Kerja Raya bagi membina dan menjaga infrastruktur awam di negeri Kedah seperti menaiktaraf laluan negeri, membina dan menaiktaraf bangunan kerajaan, serta kerja-kerja elektrik dan mekanikal. Kerajaan akan meneruskan projek membina jalan dan jambatan Alor Merah dari Lebuhraya Darul Aman ke Jalan Suka Menanti, Daerah Kota Setar dan projek pembinaan jalan Pendang ByPass di daerah Pendang. Selain itu, kerajaan juga bersetuju memulakan projek menggantikan jambatan sempit di Sungai Berok, Kampung Gajah Puteh, Daerah Sik, menggantikan jambatan di Jalan Datuk Kumbar/ Titi Haji Idris, daerah Kota Setar serta mengganti jambatan Kuala Pegang di daerah Baling. Peruntukan sebanyak RM25 juta juga disediakan bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan dan jambatan diseluruh negeri Kedah mengikut keutamaan.

Bagi menyediakan prasarana kerja yang selesa kepada pentadbiran awam negeri, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM27.5 juta bagi membina dan menaiktaraf bangunan-bangunan Kerajaan Negeri. Bagi tahun 2016, Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan Kompleks Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah Daerah Yan dan Padang Terap.

Bagi memantapkan pengurusan tanah dan pembangunan negeri, dua jabatan utama kerajaan iaitu Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan Jabatan Kerja Raya Negeri diperuntukkan pembinaan kompleks pentadbiran baharu di Jalan Suka Menanti sebagai sebahagian daripada projek RMK-11 negeri Kedah. Dua kompleks utama ini akan dibina dengan kos pembinaan berjumlah RM55 juta. Kerja-kerja awalan akan dimulakan pada tahun hadapan.

Sebagai sebuah agensi yang membekalkan air bersih untuk keseluruhan Rakyat negeri Kedah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh dan memberi komitmen yang tinggi untuk meningkatkan prasarana bekalan air yang berkualiti kepada Rakyat. Bagi tahun 2016, SADA meneruskan pelaksanaan beberapa projek bekalan air menggunakan peruntukan pinjaman Kerajaan Persekutuan sebanyak RM92.73 juta. Antara projek yang dilaksanakan adalah :


i. Projek Bekalan Air Sik
ii. Projek Bekalan Air Pokok Sena
iii. Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Kulim Hi-Tech
iv. Kajian Bekalan Air Langkawi

SADA juga telah melaksanakan projek-projek pembangunan bekalan air wilayah-wilayah bagi menambahbaik prasarana bekalan air sedia ada.


Teras 2 : Pembangunan Modal Insan, Sosial dan Agama

Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri akan meneruskan pembayaran pinjaman bagi pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil sebanyak RM45 juta setahun selain pemberian bantuan mengurus kepada KUIN sebanyak RM11.5 juta. Jumlah kedua-duanya ialah RM56.5 juta setahun yang merupakan 7 peratus daripada jumlah peruntukan mengurus.

Seterusnya, menyedari keperluan bagi pembangunan belia dan modal insan yang bernilai dan berkualiti tinggi, sebanyak RM2 juta ringgit diperuntukkan bagi menyiapkan fasa kedua projek pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darul Amandi daerah Kulim. Projek membina dan menaiktaraf Maahad ini berjumlah RM12 juta dan dijangka siap pada 2016. Kerajaan juga merancang pembangunan Maahad Tahfiz fasa ketiga bagi menggandakan enrolmen pelajar dengan meningkatkan kemudahan fizikal termasuk blok-blok akademik, asrama, prasarana am dan blok pentadbiran berjumlah RM14 juta.

Bajet yang lalu telah menyentuh mengenai penyerahan 10 buah Maktab Mahmud sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di bawah Kerajaan Persekutuan. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan kepada sidang Dewan yang mulia ini, proses penyerahan ini telah dimuktamadkan dan urusan tukar lantik semua guru dan anggota pelaksana dijangka selesai akhir tahun ini. Maka,Kerajaan Negeri tidak lagi perlu menanggung bayaran emolumen bermula tahun 2016 sebanyak RM17 juta. Dengan penjimatan pemberian tahunan ini, maka dapatlah Kerajaan mengagihkan peruntukan bagi melabur ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti dan bernilai tinggi.

Dalam usaha memberikan galakan dan dorongan kepada Rakyat negeri Kedah untuk mempertingkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, Kerajaan turut memberikan bantuan sebagai dorongan bagi mereka yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sijil Kemahiran, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan peringkat Doktor Falsafah (PhD). Sehingga 31 Oktober 2015, Kerajaan telah membelanjakan RM1.3 juta untuk maksud berkenaan.

Bagi menyemarakkan semangat perpaduan antara kaum di negeri Kedah, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM600 ribu bagi menganjurkan pelbagai program sosio-budaya di serata negeri. Berdasarkan program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menerima pelbagai reaksi positif daripada masyarakat berbilang kaum di seluruh negeri.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,
Sukan diakui telah menjadi satu instrumen bagi memupuk semangat perpaduan dan hubungan baik dalam masyarakat. Sehubungan itu, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelbagai program pembangunan sukan teras. Majlis Sukan Negeri pula telah diperuntukkan sebanyak RM7.0 juta bagi melaksanakan program pembangunan atlet muda dan penganjuran acara sukan di seluruh negeri Kedah. Dalam usaha menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti, Kerajaan memperuntukkan RM8.0 juta melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi pembangunan infrastruktur sukan di seluruh negeri Kedah. Ini termasuk kerja-kerja awalan bagi membina litar lumba di daerah Kuala Muda. Selain itu, Kerajaan juga meneruskan pemberian geran tahunan kepada Perbadanan Stadium-stadium Negeri Kedah sebanyak RM1.5 juta bagi membantu kelangsungan fungsi Perbadanan dalam menyediakan kemudahan sukan yang dapat memanfaatkan seluruh Rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Bajet 2016 tetap meneruskan pelbagai program pembangunan sosial yang akan memberi manfaat kepada golongan sasar. Sebanyak RM19.2 juta diperuntukkan bagi meneruskan program-program pembangunan sosial termasuk projek basmi kemiskinan, projek kecil kemajuan luar bandar dan Projek Perumahan Rakyat.

Bagi memberi keselesaan tempat tinggal kepada golongan yang tidak berkemampuan, Kerajaan Negeri pada tahun 2015 telah memperkenalkan Program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar. Negeri Kedah merupakan negeri yang pertama melaksanakan program yang sedemikian di Negara ini. Melalui peruntukan sebanyak RM1.0 juta, kemudahan berkenaan memberi manfaat kepada 555 isi rumah yang mana keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak layak mendapat rumah di bawah Program Bantuan Rumah dan berada dalam status keluarga miskin. Kerajaan mendapat respon yang amat memberangsangkan daripada penerima dan berhasrat meneruskan program berkenaan bagi menjamin kelangsungan hidup yang berkualiti kepada keluarga miskin. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju meneruskan Program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar bagi tahun 2016.

Sepanjang tahun 2015 Program Khairat Kematian diteruskan dengan pemberian sebanyak RM250 bagi setiap yang memohon. Sehingga 31 Oktober2015,Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM478,500 yang disampaikan kepada 1,914 penerima. Sumbangan ini akan diteruskan lagi untuk tahun hadapan.

Teras 3 : Kemakmuran Rakyat

Untuk golongan usahawan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM6.0 juta bagi program peningkatan pendapatan usahawan dan peniaga kecil termasuk membina dan menaiktaraf ruang niaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Selain itu, Kerajaan juga tetap komited meneruskan peranan Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) dengan pemberian tahunan sebanyak RM1.5 juta bagi memainkan peranan melalui pelbagai program bimbingan untuk melahirkan usahawan baharu yang berdaya saing.

Dalam sektor pertanian, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10.42 juta bagi melaksanakan pelbagai program pertanian melalui Jabatan Pertanian, dan Jabatan Veterinar. Antara program yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian adalah pembangunan industri padi, buah-buahan, sayuran dan tanaman ladang serta industri asas tani. Jabatan Veterinar pula meneruskan program pembangunan ternakan unggas/ ayam-itik, peningkatan pembangunan dan pengeluaran bahan makanan, serta pembangunan industri ternakan ruminan dan industri tenusu.

Jabatan Veterinar telah menubuhkan pusat Pembangunan Industri Tenusu di Paya Mat Insun di daerah Pendang yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan Rakyat terutamanya golongan penternak. Program bimbingan Jabatan Veterinar yang melibatkan seramai 60 orang penternak lembu tenusu ini merangkumi bimbingan dan latihan kemahiran penjagaan ternakan ruminan supaya mengeluarkan produk tenusu yang mampu menjana pendapatan lumayan dan sekali gus menyelesaikan masalah kemiskinan penduduk luar bandar.

Kerajaan sedar hasil negeri turut disumbangkan melalui hasil hutan. Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.0 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri. Daripada jumlah itu, agihan sebanyak RM2.74 juta adalah bagi pengurusan sumber hutan. Manakala sebanyak RM1.0 juta disediakan bagi tujuan pembangunan hutan lipur sebagai sebahagian daripada Taman Negeri. Kekayaan flora dan fauna hutan tropika di negeri Kedah telah menjadi daya tarikan kepada ramai pengunjung. Pemeliharaan kebersihan dengan penyediaan tandas, tempat rehat dan kemudahan asas akan memberi keselesaan sekaligus mampu menarik lebih ramai pengunjung. Kerajaan yakin, dengan promosi berterusan, hutan-hutan lipur di negeri Kedah akan mampu menyumbang kepada ekonomi.

Kerajaan masih bertegas untuk tidak mengeluarkan kelulusan baru untuk tujuan pembalakan. Namun begitu, akan terus berusaha untuk memperkaya hasil perhutanan dengan program Ladang Hutan di kawasan-kawasan hutan miskin. Ini adalah kawasan-kawasan yang telahpun dibalak sebelum ini. Pendekatan seperti ini mesti dilakukan demi memastikan khazanah negeri terus terpelihara dan dapat diwarisi generasi akan datang.

Dalam usaha memindahkan penduduk yang terlibat dengan hakisan laut di daerah Yan, bersama sebuah yayasan, Kerajaan telah membina sebanyak 100 buah rumah dalam projek Perumahan Aman Makmur. Rumah yang telah selesai dibina itu akan mula diduduki selepas kerja-kerja penyediaan infrastruktur yang menelan belanja sebanyak RM2.49 juta siap sepenuhnya pada tahun 2016. Sebaik siap projek berkenaan, Kerajaan dapat menyelesaikan masalah dan kebimbangan yang membelenggu penduduk di pinggir pantai daerah Yan yang kian hari kian terjejas akibat hakisan pantai. Ditambah pula dengan keadaan cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini, sudah tentu jika tidak dipindahkan, penduduk akan semakin resah dan gelisah. Usaha ini menunjukkan Kerajaan yang memerintah pada hari ini amat prihatin dan mendengar setiap denyut nadi Rakyat.

Teras 4 : Menggalak Pertumbuhan Ekonomi

Kerajaan memberi tumpuan dalam menyediakan persekitaran yang sempurna, lengkap, mesra dan kondusif bagi menggalakkan pembangunan dan pelaburan di negeri Kedah.
Untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi negeri, usaha-usaha untuk menarik pelaburan swasta dipertingkatkan dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta untuk agensi promosi pelaburan Kerajaan Negeri iaitu Kedah Investment Centre (KIC). Terkini, dengan kerjasama pihak MIDA, KTPC dan NCIA, KIC telah berjaya menarik pelaburan sebanyak 1 bilion Euro bersamaan lebih kurang RM4.7 bilion daripada syarikat OSRAM yang beribupejabat di Munich,Jerman. Ia dijangka akan mewujudkan seribu peluang pekerjaan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), disamping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Pelaburan yang setakat ini merupakan yang terbesar di Malaysia dari sesebuah syarikat akan menyaksikan Kedah menjadi lokasi pengeluaran cip LED 6 inci teknologi terbaru yang terbesar di dunia.

Di samping itu, Kerajaan merancang untuk membangunkan taman-taman industri seperti bandaraya getah di Bukit Ketapang, Daerah Padang Terap, Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam dan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) di Kuala Kedah. Sepertimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, sebuah delegasi pelabur dari Qingdao, China telah melawat Kedah untuk meninjau tapak projek KIFT dan menyatakan keyakinan mereka terhadap keupayaan Kedah untuk menjayakan projek berkenaan. Dianggarkan RM1.0 bilion akan dilabur oleh syarikat Lu Haifeng dari Qingdao yang dijangka akan mewujudkan lima ribu peluang pekerjaan. Projek ini juga melibatkan pembinaan sebuah jeti nelayan yang moden dan kemudahan pemprosesan hasil laut untuk meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.

Kedah akan menjadi negeri tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara tahun depan kerana Kerajaan telah melancarkan Tahun Jelajah Kedah 2016. Peruntukan sebanyak RM9.1 juta telah disediakan bagi memperkemas pelbagai projek pelancongan pada tahun 2016. Tahun Jelajah Kedah 2016 mensasarkan 1.5 juta pelancong ke tanah besar Kedah dan 3.5 juta pelancong ke Pulau Langkawi. Kerajaan berharap industri pelancongan di negeri Kedah dapat dirancakkan lagi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan. Sebagai modal permulaan, RM1.0 juta telah diperuntukkan untuk agensi promosi pelancongan yang baharu iaitu Kedah Tourism Sdn Bhd. RM2.0 juta pula diperuntukkan untuk kerja-kerja pengiklanan yang telah dimulakan pada tahun ini.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Teras 5 : Memperkukuh Tadbir Urus Kerajaan Negeri

Kerajaan komited dalam usaha mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan ke arah pencapaian sasaran. Sebanyak RM249.66 juta diperuntukkan bagi pembayaran emolumen untuk seluruh penjawat awam negeri. Agihan sebanyak RM151.46 juta diperuntukkan bagi pembayaran pelbagai kos perkhidmatan dan bekalan. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM15.19 juta bagi pembelian pelbagai aset yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan mutu kerja.

Untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan juga meneruskan pemberian bantuan mengurus kerana kehilangan hasil lesen penjaja bagi tahun 2015. Pemberian untuk tujuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta. Selain itu, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM759 ribu bagi membayar Caruman Bantu Kadar Hartanah Kerajaan Negeri kepada semua PBT. Kerajaan berharap dengan pemberian peruntukan ini dapat menggerakkan semua PBT ke arah pencapaian produktiviti dan kekal sebagai perkhidmatan yang diyakini oleh Rakyat.

Sebanyak RM6.62 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Peruntukan ini merangkumi pelbagai program pembangunan sistem maklumat jabatan, projek mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan pinggir bandar, serta memperluaskan aplikasi e-Kerajaan.

Dari segi pengurusan kewangan, sebanyak lima jabatan telah mencapai pengiktirafan terbaik iaitu 4 Bintang berdasarkan Indeks Akauntibiliti (AI) bagi tahun 2014 berdasarkan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah Kubang Pasu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Perbadanan Stadium-stadium Negeri Kedah dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan. Bagi menghargai pencapaian ini, Kerajaan bersetuju memberikan insentif sebanyak RM10 ribu kepada setiap jabatan tersebut. Dengan adanya program penilaian seperti ini, kerajaan berharap semua jabatan kerajaan sentiasa mengambil langkah pembetulan dan pencegahan dalam pengurusan kewangan jabatan bagi tujuan memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan. Tindakan pembetulan adalah bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan dapat diperbetulkan, manakala langkah pencegahan pula adalah bagi memastikan kelemahan yang sama tidak berulang.

Sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan pada 23 Oktober yang lalu, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan pemberian khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri seramai 4,573 orang. Pembayaran yang akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.28 juta ini akan dibuat pada bulan Disember 2015.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker,

Dalam usaha untuk memakmurkan negeri, Kerajaan mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur dan perniagaan. Walaupun berbilion ringgit dibelanjakan oleh pelabur-pelabur ini, impaknya terhad jika ianya tidak memberi manfaat secara langsung kepada Rakyat negeri Kedah. Peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan kurang bermakna selagi ianya tidak diisi graduan-graduan IPT dari kalangan anak-anak Kedah.

Oleh itu, Kerajaan menyedari akan betapa pentingnya pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang yang impaknya tidak akan dirasai serta-merta. Salah satu cetusan idea Kerajaan Negeri kearah ini ialah Program Kedah e-Tutor (KeT) yang semakin diterima baik oleh sebahagian besar pelajar, guru dan ibu bapa di Kedah. Ini merupakan strategi utama kita dalam menyediakan modal insan berkemahiran tinggi bagi menjayakan agenda pembangunan negeri.

Tentunya suatu usaha seperti ini memerlukan masa dan komitmen oleh kita semua sebelum ianya berjaya seperti yang dihasratkan. Namun, ianya adalah satu usaha yang mesti diteruskan kerana kemenangan sebenar tidak akan muncul dengan hanya satu dua kejayaan jangka pendek. Justeru, saya memohon agar semua pihak, termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini memberi sokongan padu dan kerjasama erat demi menjamin kesinambungan kemakmuran Rakyat Kedah.

Kerajaan Negeri berikrar bahawa pelaksanaan Bajet 2016 kelak akan mengatasi kepentingan individu, menjangkau batasan kaum, warna kulit mahupun kepercayaan agama hatta perbezaan ideologi politik sekalipun. Inilah keberkatan muafakat di mana setiap anak watansanggup berkorban, berkompromi dan berlebih kurang demi melihat Kedah Darul Aman yang lebih maju lagi sejahtera.

Di Dewan yang mulia ini saya menyeru supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Rakyat yang kita wakili terus menerus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan sekarang demi melihat segala hasil perancangan yang sedang rancak dijalankan ini diterjemahkan sebaik mungkin. Marilah bersama-sama saya berdiri sebagai satu saf yang mantap membina sebuah negeri Kedah yang lebih baik dari semalam. Saya yakin, dengan usaha yang berterusan, ikhlas dan disusuli dengan doa yang berpanjangan, Kedah yang aman lagi makmur ini mampu menjadi simbol dan peneraju pembangunan yang maju dan adil lagi saksama.

“Belatuk di atas dahan,
Terbang pergi ke lain pohon,
Hidup mati di tangan Tuhan,
Kepada Allah kita bermohon.”


“Ramailah orang menggali perigi,
Ambil buluh lalu diikat,
Berkhidmat baktilah kepada Negeri,
Buat bekalan dunia akhirat.

Yang Berhormat Dato’ Paduka Speaker, saya mohon mencadangkan.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. Saya Husnah dan saya sedang mengambil masa saya keluar untuk memberi keterangan Puan Amanda kerana dia akhirnya menawarkan saya.
    Saya dan suami saya mendapat ke dalam hutang yang sangat besar dengan Bank dan kami memohon pinjaman daripada syarikat pinjaman yang berbeza tetapi semua datang tidak berjaya. sebaliknya mereka mendapat kita ke dalam hutang lebih meninggalkan kita bankrap sehingga saya datang dalam hubungan dengan Puan Amanda, yang menawarkan saya pinjaman. Sekarang kita telah akhirnya menetap hutang kami dan memulakan perniagaan baru dengan wang kiri dari pinjaman. Anda boleh menghubungi beliau hari ini untuk pinjaman dalam apa jua bentuk dan jumlah.
    Hubungi Puan Amanda melalui mana-mana e-mel yang berikut. amandarichardssonloanfirm@gmail.com atau amandarichardson686@gmail.com atau anda boleh menghubungi saya melalui e-mel saya untuk arahan lanjut ikmahusnah@gmail.com

    ReplyDelete

Item Reviewed: #BajetKedah2016 : Ucapan Penuh Bajet Kedah 2016 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top