Latest News

Tuesday 17 November 2015

#BeritaKedah2016 : Memperkukuh Tadbir Urus Kerajaan Negeri




Kerajaan komited dalam usaha mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan ke arah pencapaian sasaran. Sebanyak RM249.66 juta diperuntukkan bagi pembayaran emolumen untuk seluruh penjawat awam negeri. 

Agihan sebanyak RM151.46 juta diperuntukkan bagi pembayaran pelbagai kos perkhidmatan dan bekalan. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM15.19 juta bagi pembelian pelbagai aset yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan mutu kerja.

Untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan juga meneruskan pemberian bantuan mengurus kerana kehilangan hasil lesen penjaja bagi tahun 2015. Pemberian untuk tujuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta. 

Selain itu, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM759 ribu bagi membayar Caruman Bantu Kadar Hartanah Kerajaan Negeri kepada semua PBT. Kerajaan berharap dengan pemberian peruntukan ini dapat menggerakkan semua PBT ke arah pencapaian produktiviti dan kekal sebagai perkhidmatan yang diyakini oleh Rakyat.

Sebanyak RM6.62 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Peruntukan ini merangkumi pelbagai program pembangunan sistem maklumat jabatan, projek mengurangkan jurang digital antara masyarakat bandar dan pinggir bandar, serta memperluaskan aplikasi e-Kerajaan.


Dari segi pengurusan kewangan, sebanyak lima jabatan telah mencapai pengiktirafan terbaik iaitu 4 Bintang berdasarkan Indeks Akauntibiliti (AI) bagi tahun 2014 berdasarkan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara. 

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah Kubang Pasu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Perbadanan Stadium-stadium Negeri Kedah dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan. Bagi menghargai pencapaian ini, Kerajaan bersetuju memberikan insentif sebanyak RM10 ribu kepada setiap jabatan tersebut. 

Dengan adanya program penilaian seperti ini, kerajaan berharap semua jabatan kerajaan sentiasa mengambil langkah pembetulan dan pencegahan dalam pengurusan kewangan jabatan bagi tujuan memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan. 

Tindakan pembetulan adalah bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan dapat diperbetulkan, manakala langkah pencegahan pula adalah bagi memastikan kelemahan yang sama tidak berulang.

Sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan pada 23 Oktober yang lalu, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan pemberian khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri seramai 4,573 orang. 

Pembayaran yang akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.28 juta ini akan dibuat pada bulan Disember 2015.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #BeritaKedah2016 : Memperkukuh Tadbir Urus Kerajaan Negeri Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top