Latest News

Tuesday 24 November 2015

MBAS Ambil Alih Kutipan Caj Tempat Letak Kereta



ALOR SETAR, 23 Nov (Bernama) -- Bermula 28 Nov ini, perkhidmatan kutipan caj tempat letak kereta di Bandaraya Alor Setar akan diuruskan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Datuk Bandar MBAS Datuk Mat Noh Ahmad berkata semua tempat letak kereta di sekitar bandar raya itu akan diuruskan sendiri oleh MBAS selepas syarikat swasta yang dilantik pada 1 April lalu gagal menjalankan tugas yang diberikan.

"Bagi mengelakkan daripada menanggung lebih banyak hutang, kita telah mengeluarkan notis pemberhentian kepada syarikat berkenaan pada 28 Sept lalu dan perkhidmatan mereka akan berakhir pada 27 Nov ini.

"Orang ramai yang masih mempunyai kupon dan menyewa petak tempat letak kereta khas perlu membuat tuntutan daripada syarikat berkenaan kerana MBAS tidak bertanggungjawab untuk proses ganti rugi," katanya kepada pemberita di Pejabat MBAS Isnin.

Mat Noh berkata semua ejen yang mengendalikan tempat letak kereta di bawah syarikat berkenaan hanya sah sehingga 27 Nov ini dan MBAS akan mengambil alih tugas berkenaan bermula 28 Nov ini.

"Dalam tempoh peralihan dari 28 Nov hingga 31 Dis ini, semua tempat letak kereta di tepi jalan adalah percuma manakala tempat letak kereta yang tidak diswastakan perlu membuat pembayaran seperti biasa.

"Keputusan sama ada ingin mengekalkan sistem berkupon atau bermeter masih belum dimuktamadkan tetapi sekiranya penggunaan kupon diteruskan, ia akan bermula pada 1 Jan 2016 dan kupon akan dikeluarkan sendiri oleh MBAS," katanya.

Tambahnya, MBAS akan mengeluarkan notis dan papan tanda bagi memberitahu orang ramai berkenaan kawasan yang menggunakan meter atau kupon dan kupon-kupon akan dijual di Pejabat MBAS.

Sementara itu, beliau berkata bagi memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran cukai pintu dan saman, mereka boleh membuat pembayaran di Kaunter Pandu Laju yang terletak di pintu keluar Pejabat MBAS.

"Kaunter berkenaan telah mula beroperasi pada 11 Nov lalu yang mana orang ramai boleh membuat pembayaran secara tunai, kad kredit dan cek tanpa perlu keluar beratur. Jadi selepas ini, tidak timbul lagi alasan susah membuat pembayaran," katanya.

Kaunter tersebut dibuka pada Ahad sehingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga 3 petang manakala bagi Jumaat dan Sabtu, pembayaran boleh dibuat di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah.

--BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: MBAS Ambil Alih Kutipan Caj Tempat Letak Kereta Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top