Latest News

Thursday 10 December 2015

Mufti Kedah Minta Kumpulan G25 Bertaubat




Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad hari ini meminta kumpulan bekas penjawat awam G25 agar bertaubat kerana telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.

Beliau berkata G25 perlu segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan memandangkan kenyataan kumpulan itu agar hukuman terhadap perbuatan khalwat dimansuhkan, adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Jurucakap kumpulan itu Datuk Noor Farida Ariffin baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang meminta agar hukuman terhadap perbuatan berkhalwat dimansuhkan kerana kononnya melanggar hak dan privasi individu.

Kumpulan itu beranggapan bahawa perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan tuhan kecuali jika dilakukan di kawasan awam.

Mengulas tanggapan itu Syeikh Muhamad Baderudin berkata, walaupun ia adalah hak privasi individu, namun kesan perbuatan tersebut bukan hanya melibatkan pelakunya, malahan anggota keluarga dan juga masyarakat.

Mengulas cadangan kumpulan yang mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diaudit, beliau berkata Jakim merupakan institusi agama yang penting dan dipercayai di negara ini bagi mengendalikan hal berkaitan agama Islam.

"Apabila timbul satu isu mereka ini akan mengkaji, misalnya sesuatu produk yang bertentangan dengan Islam mereka ini akan kaji... kemampuan Jakim disebabkan adanya jawatankuasa-jawatankuasa khas dalam bidang agama," katanya.

Beliau berkata seharusnya dalam menghadapi zaman yang semakin mencabar ini, masyarakat terutamanya badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan bekerjasama lebih erat dengan Jakim dan jabatan agama bagi menjaga kesucian agama Islam.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mufti Kedah Minta Kumpulan G25 Bertaubat Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top