Latest News

Wednesday 9 December 2015

Tiada Resepi Istimewa Untuk Kedah Langkah Ke Final Piala Malaysia - Marcote



Tiada strategi atau resepi istimewa oleh Pemangku Jurulatih Kedah, Ramon Marcote yang berjaya membawa Juara Liga Perdana, Kedah untuk layak ke peringkat akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Jurulatih Kecergasan pasukan itu diberi tanggungjawab mengendalikan skuad Helang Merah itu oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe yang kini menjalani latihan lanjutan kejurulatihan di China, pertengahan bulan lepas dan turut dibantu oleh Penolong Jurulatih, Nidzam Adha Yusoff.

Marcote yang mempunyai pengalaman kejurulatihan di kelab Atletico Madrid, Sepanyol berkata beliau tidak menghalang pemain Kedah bermain bola sepak mengikut corak permainan England dan Australia.

"Saya ikut pendekatan mereka agar mereka tidak tertekan. Yang penting mereka ikut arahan yang diberikan dan perbaiki kelemahan yang ada dalam pasukan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata komitmen yang tinggi pemain membolehkan pasukan daripada Liga Perdana itu mampu melakar kejayaan sehingga melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia.

"Dalam tempoh pendek kita mampu sampai ke tahap ini. Kalau ikutkan sesebuah pasukan atau negara akan ambil masa yang lama untuk menunjukkan peningkatan tetapi berbeza untuk pasukan Kedah yang ambil masa setahun untuk cipta kejayaan," katanya.

Marcote berkata pasukannya mempunyai strategi tersendiri dalam memastikan 80 peratus penguasaan bola milik mereka disamping berusaha memburu gol dalam setiap perlawanan.

Beliau mengakui tidak banyak mengetahui mengenai pasukan Selangor sebelum ini dan berusaha untuk mengawal setiap pemain berpengalaman mereka serta mencari peluang untuk menghasilkan gol kemenangan.

"Saya yakin mempunyai masa yang cukup untuk mantapkan pemain. Kita telah kalahkan Felda United baru-baru ini, saya yakin semangat pemain masih ada untuk berhadapan dengan Selangor," katanya.

Sementara itu tonggak pasukan Kedah, Liridon Krasniqi berkata perjalanan pasukan Kedah musim ini agak menakjubkan sehingga berjaya melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia.

Pemain kelahiran Kosovo itu berkata yakin pasukannya mempunyai peluang terbaik untuk merangkul Piala Malaysia berdasarkan komitmen dan semangat yang ditunjukkan rakan sepasukan.

Katanya bermain di tempat sendiri menjadi kelebihan kepada pasukannya, tetapi beliau yakin penyokong tegar pasukan itu akan membanjiri Stadium Shah Alam bagi memberi sokongan kepada mereka.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tiada Resepi Istimewa Untuk Kedah Langkah Ke Final Piala Malaysia - Marcote Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top