Latest News

Sunday 17 January 2016

Kedah Ikat Kontrak Setahun Pemain Brazil, Carlos Kahe




Pasukan Kedah mengikat kontrak pemain dari Brazil, Carlos Eduardo de Souza Floresta atau Carlos Kahe selama setahun bagi memantapkan jentera serangan pasukan itu pada Liga Malaysia 2016.

Pengurus pasukan, Datuk Jeffrey Low Han Chow berkata pemilihan Carlos Kahe, 34, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang bermain di Bundesliga Jerman dengan mewakili pasukan Boarussia Monchengladbach selama dua tahun dan beberapa kelab dalam Liga Turki selama tujuh tahun.

Beliau berkata selain tahap kecergasan yang baik, pengalaman luas yang dimiliki Carlos Kahe mampu untuk membantu mengasah jentera serangan skuad Lang Merah yang sebelum ini tumpul.

"Carlos Kahe juga pernah bergandingan dengan rakan senegaranya Sandro Da Silva (pemain Kedah) dalam sebuah kelab di Brazil. Jadi ini merupakan kelebihan dari segi persefahaman dalam pasukan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut pemain import itu yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini malam tadi dan turut disambut oleh kira-kira 100 penyokong setia skuad Lang Merah.

Carlos Kahe yang bermain pada posisi serangan berkata beliau gembira dan teruja menyertai pasukan Kedah musim ini dan berjanji akan memberi yang terbaik sepanjang perlawanan kali ini.

Carlos Kahe yang menjaringkan 73 gol sepanjang tujuh tahun di Liga Turki berkata beliau mengenali pasukan ini menerusi rakan senegaranya Sandro dan berharap akan cepat menyesuaikan diri bersama pasukan tersebut.

"Lima tahun saya bermain dengan Sandro di Brazil dan bila ditawarkan untuk bermain dengan pasukan Kedah, saya bersetuju. Tugas saya untuk jaringkan gol dan saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kedah Ikat Kontrak Setahun Pemain Brazil, Carlos Kahe Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top