Latest News

Sunday 31 January 2016

Terkini : Segera Mohon Ampun Kepada Tuanku Sultan




KENYATAAN AKHBAR

Di saat rakyat Negeri Kedah Darul Aman sedang bergembira meraikan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan Menteri Besar.

Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.

Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.

Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah pada hari Rabu, 27 Januari 2016 yang lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, keengganan menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini. Saya dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan turut murka dengan keingkaran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari 2016 segera memohon maaf secara rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Sehingga kemelut ini selesai, semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Udangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Menteri Besar Kedah Darul Aman

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah

Dikeluarkan di Alor Setar, Kedah bertarikh 31 Januari 2016
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. COUNTER ATTACK BIJAK DARI MUKHRIZ
    Memang geliga, dia tarik semua dan bongkar perkara sebenar
    Baca dengan teliti

    1) 14 orang ketua bahagian termasuk exco hadir sidang media 20 Jan, tak semua tahu perkara sebenar, terkejut dan masih sokong Mukhriz(rujuk perenggan ketiga kenyataan akhbar diatas)
    2) paling bnyak mungkin 9 orang exco sahaja yang betul2 bangkang Mukhriz atau mungkin hanya 6 sebab yang tak hadir mesyuarat 6 sahaja.
    3) Mukriz kaitkan kesemua 14 yang hadir sidang media 20 jan tampil minta maaf
    4) dalam 14 orang tersebut tak semua membangkang Mukhriz semestinya akan membersihkan nama mereka kepada sultan

    KESIMPULAN:
    14 - 9 bersamaan 5 orang anggaran yang akan minta maaf dan membongkarkan cerita sebenar kepada sultan.

    Kalau di baca dengan teliti mungkin ni dari otak geliga Dr Maharthir


    ReplyDelete

Item Reviewed: Terkini : Segera Mohon Ampun Kepada Tuanku Sultan Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top