Latest News

Tuesday, 26 April 2016

Ketua Umno Cawangan Adu Diugut: Mukhriz



ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa wujudnya ugutan ke atas ketua Umno cawangan yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya tidak kemukakan usul tidak percaya terhadap Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Umno cawangan.

Sekiranya mereka berbuat demikian, jawatan pengerusi JKKK itu tidak dilanjutkan pada masa akan datang.

“Saya kesal apabila ada ketua cawangan yang mengadu perkara ini berlaku sebelum mereka bermesyuarat. Ada juga pihak yang minta usul itu ditapis sebelum diserahkan kepada bahagian masing-masing,” katanya, ketika dihubungi.

Menurutnya, tindakan itu dianggap keterlaluan kerana ini adalah unsur ugutan dalam usaha menyekat usul tidak percaya kepimpinan Najib untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Saya kesal perkara seperti ini berlaku dalam Umno. Di Kedah, ketua Umno cawangan secara automatik dilantik Pengerusi JKKK. Ini suatu penganiayaan dan ugutan bersifat politik,” katanya.

Mukhriz berkata, difahamkan banyak cawangan berhasrat mengemukakan usul itu, termasuk usul tidak tangguh pemilihan parti, selain memohon diadakan pada tahun ini, namun hasrat itu terbantut gara-gara ada ugutan.

“Saya difahamkan lebih 20 cawangan ada ketengahkan usul ini. Akar umbi ini tegaskan mereka sepakat bawa usul itu demi untuk selamatkan parti selain mahu Najib undur,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan cawangan yang bertindak berani mengusulkan dua usul itu adalah dari Bahagian Jerlun, Merbok, Sik dan Baling.

“Malah sebahagian besar daripada mereka turut menandatangani Deklarasi Rakyat.

"Bagaimanapun, jumlah sebenar belum diketahui kerana masih dalam proses pengiraan oleh urusetia,” katanya, ketika ditanya jumlah mereka yang menandatangani Deklarasi Rakyat di Kedah.

Mukhriz berkata, deklarasi ini adalah suara rakyat terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada, dan mana-mana individu berhak bersuara.

“Sesiapa yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan, wajar berbuat sesuatu. Buat masa ini, lebih 250,000 tandatangan diperoleh,” katanya.

Menurutnya, deklarasi ini bukan bertujuan menyuruh orang ramai melakukan demonstrasi atau merusuh, sebaliknya menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan secara harmoni.


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ketua Umno Cawangan Adu Diugut: Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top