Latest News

Sunday 10 April 2016

Lembaga Penasihat 1MDB Patut DiMansuhkan



SHAH ALAM – Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyokong cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) agar Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan.

Ketua Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia wajar dihapuskan kerana badan itu merupakan satu masalah pentadbiran yang kelam kabut.

“Kalau kita baca dalam bahagian ulasan, laporan itu menyentuh soal Lembaga Penasihat kalau tak silap saya hanya satu perenggan...satu bahagian itu sahaja disebut mengenai penglibatan Lembaga Penasihat.

"PAC tidak ulas langsung mengenai Lembaga Penasihat tetapi dalam cadangannya, salah satu daripada lima cadangannya ialah Lembaga Penasihat perlu dihapuskan.

“Jadi, ini sekali lagi menimbulkan persoalan. Ada jurang yang besar daripada tak bincang langsung tiba-tiba kata kena hapuskan. Kenapa begitu cadangannya?

“Apabila orang paling berkuasa dalam negara dilantik sebagai Lembaga Penasihat ia akan ‘duplicate’ peranan Lembaga Pengarah. Ini satu cadangan yang amat baik dan perlu dilaksanakan dengan segera, ini juga menunjukkan PAC ada bincang mengenai peranan Lembaga Penasihat cuma mungkin PAC tidak tulis dalam laporan itu sahaja,” katanya kepada Sinar Online.

PAC dalam laporan itu mengesyorkan supaya Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan berserta Artikel 117 dalam Memorandum dan artikel syarikat itu.

Hari ini, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa juga tidak menolak cadangan PAC itu kerana menurutnya, langkah tersebut boleh memastikan bosnya itu tidak dikaitkan lagi dengan sebarang masalah urus tadbir dan operasi urus niaga harian syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, ada kemungkinan wujud konsep ‘shadow director’ dalam 1MDB yang biasa dalam pentadbiran korporat namun tidak disiasat PAC.

“Konsep ‘shadow director’ ini maksudnya, beliau mungkin bukan lembaga pengarah yang dinamakan dalam Lembaga Pengarah sebenar tetapi beliau lah sebenarnya yang paling berkuasa...yang menjalankan peranan sebagai lembaga pengarah yang sebenar.

“Jadi, persoalan saya ialah adakah PAC menyiasat mengenai perkara itu? Jika sekiranya PAC tidak menyiasat mengenai konsep berkenaan sekalipun, laporan ini menimbulkan kemungkinan bahawa CEO bertindak atas arahan ‘shadow director’.

“Jika ada siasatan dijalankan selepas ini, siasatan itu mesti mencari sekiranya ada ‘shadow director’ yang sebenarnya menjadi pemain utama dalam 1MDB selama ini,” katanya.

Dalam laporannya, PAC mendapati pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah atau pun bertindak sebelum kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah.

PAC juga meminta pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan kerana beliau perlu bertanggungjawab atas kelemahan serta kekangan dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Lembaga Penasihat 1MDB Patut DiMansuhkan Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top