Sungguh pelik pemimpin UMNO
Dahulu soraknya Ketuanan Melayu
Pantang diusik, keris dihunus
Suara dilaung memekik
Kedengaran hingga segenap corong
Mulianya diri kini terdorong
Jiwa dibelenggu dipesona wang
Kalau dahulu kekayaan digadai
Mahu menegak kemerdekaan
Hari ini kekayaan dibolot
Demi diri, nama dan darjat
Tak sedarkah akhirnya menjadi musibat?
Sungguh pelik pemimpin UMNO
Perjuangan dahulu mengangkat darjat
Sorak sorai menghambat semangat
Seluruh Malaysia bangkit terpikat
Kini bacul dek seorang musibat
Menghamba diri dengan sang tunai
Yang menyokong tanpa segan
Mengangkat sepanduk, menagih kasih simpati
"Respect My PM... I Love PM"
Hilangkah sudah pedoman perjuangan
Hingga memijak prinsip dan maruah
Sungguh pelik pemimpin UMNO
Diminta bangsanya menyanyi bersama
Anak kecil main api
Dipesan pesan ke anak cucu
Kononnya andai tak berjaga
Hasil mengalir ke tangan pendatang
Terhakis kuasa membawa derita
Tak sedarkah akhirnya kau berdusta
Hasil mahsul dirompak pejuang bangsa
Mahu jadi wira
Akhirnya jadi hamba wang dan harta
Bertambah hina menghamba diri pada penjajah
Sungguh pelik pemimpin UMNO
Sudahkah dilupa sejarah lama
Pemimpinnya hebat membelah samudera
Menyerah diri kerana rakyat jelata
Tindak tanduk ditimbang berat hingga birat
Agar tak terjerat menjadi soal akhirat
Tapi itu dulu, rentak dan langkah disusun rapi
Kini keputusan membuta tuli
Rakyat ditekan dipulas dihambat
Pemimpin di atas kenyang membulat
Sungguh pelik pemimpin UMNO
Dahulunya cerdik memberi kata
Yang terpacul di bibir menjadi azimat
Terkadang dianggap kata keramat
Kini hanyut ditelan ombak dan badai harta
Kata diberi cuma dusta
Menjadi kejian rakyat jelata
Kadang berdusta membela diri
Kadang pula katanya bagai jenaka
Hingga dihamun sang jelata
Oh... masih kau mahu mendabik dada!
Sungguh pelik pemimpin UMNO
Setia dilaung membabi buta
Melutut menyembah saling tak tumpah
Bagaikan si ayam ditabur dedak
Sedangkan tahu hampir termusnah
Tetap tak sudah meyakini yang salah
Mungkinkah pekak tuli dan buta
Hingga hati menjadi hitam dan kelam
Tergadai seluruh jiwa raga
Manakan hirau tentang pekerti
Sungguh pelik pemimpin UMNO
Mereka meludah seorang pejuang
Dulunya dari warna darah yang sama
Bukannya dari seorang petualang bangsa
Dahulunya dirayu diangkat
Hingga ada yang tersedu, memujuk agar tak undur
Kini sang pejuang kau keji, kau buang
Masing-masing menunjuk belang
Tak sedarkah kau bagai kaduk naik junjung
Mahu melawan si tua yang uzur
Lupakah jasanya cecah berdekad
Mengapa dihina bapa yang berjasa?
Bukankah dia yang membela dirimu?
Apakah pula bandingan jasamu?
Sunggu pelik pemimpin UMNO
Masih bermimpi masih berhibur
Ingatlah, harta tak diusung ke kubur
Andai jatuh sekali ini
Pastinya UMNO takkan kembali
Usah lagi meraih simpati
Saat itu menyebutmu umpama mencarut
Dianggap jijik andai ditutur
Cukuplah... Cukup mengikut terhanyut
Tinggalkan saja sang musibat
Selagi ada masa, selagi diberi nikmat
Kembalikan perjuanganmu yang hakikat
MimLamKaf
020316, Melaka
CopyPaste
0 comments:
Post a Comment