Latest News

Sunday 24 April 2016

Tengku Sarifuddin tak faham isu! - @MukhrizMahathir


Sekali lagi Tengku Sarifuddin tidak memahami isu sebenar. Malah, dia mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali bilamana beliau mendakwa saya bertanding jawatan Naib Presiden semata-mata untuk memenuhi cita-cita menjadi Perdana Menteri.

Yang pertamanya, saya ini seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan tidak seperti seorang Ahli Parlimen, saya tidak layak memegang sebarang jawatan Persekutuan, melainkan dilantik sebagai Senator. Begitupun, apakah kebarangkalian seorang PM melantik seseorang sebagai Senator semata-mata untuk mengangkat beliau ke jawatan Perdana Menteri?

Keduanya, jawatan Naib Presiden tidak menjamin penyandangnya akan menjadi Perdana Menteri. Jangankan jawatan tertinggi, sebagai seorang menteri pun belum pasti, sepertimana yang boleh diperakui Dato’ Seri Shafie Apdal.

Yang ketiga, tidak semestinya seorang bergelar Yang Berhormat sahaja layak bertanding jawatan Naib Presiden, sekaligus menyangkal pendapat bahawa semua Naib Presiden semestinya menyimpan cita-cita untuk memegang jawatan tertinggi kerajaan Malaysia. Yang dimaksudkan, Ali Rustam.

Begitu jelas sekali bahawa serangan dan kutukan silih berganti yang dilemparkan terhadap Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Seri Shafie dan saya sendiri bertujuan untuk mengalih perhatian Rakyat dari isu-isu sebenar dan perlakuan jenayah iaitu berbilion wang 1MDB yang lenyap, yang mengaitkan secara langsung Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihatnya; jutaaan wang milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri; dan wang RM2.6 bilion atau berapa jumlah sebenar yang dengan begitu murah hati “didermakan” oleh seorang putera raja sebuah negara yang sedang berusaha meminjam sebanyak USD10 bilion daripada bank-bank antarabangsa.

Eloklah Perdana Menteri merombak barisan pegawai-pegawainya kerana strategi-strategi Perhubungan Awam mereka tidak membantu beliau sedikit pun. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan telah menghakis sedikit kredibiliti yang beliau masih miliki. Tetapi, beliau sebenarnya sudah tidak wibawa.



YB Dato Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir
Adun Ayer Hitam
Ketua UMNO Bahagian Jerlun
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tengku Sarifuddin tak faham isu! - @MukhrizMahathir Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top