Latest News

Thursday, 7 April 2016

UMNO Johor Tak Perlu Deklarasi Sokong @NajibRazak



KUALA LUMPUR: UMNO Johor tidak memerlukan sebarang deklarasi untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, rakyat Johor telah terbukti menerima kepimpinan Najib dan hubungan kerajaan negeri dengan Pusat juga baik.

“Itu (deklarasi) bukan cara kita apabila bercakap mengenai UMNO Johor. Ia sokongan yang tidak perlu dinyatakan, tidak payah ada deklarasi.

“Tidak payah semua itu kerana hubungan memang sudah terjalin dengan begitu baik,” katanya di Parlimen hari ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) berkata, rakyat Johor sangat demokratik dan terbuka dalam apa-apa jua perkara termasuk isu desakan menolak Najib.

“Kami (UMNO Johor) sangat demokratik, kami terbuka, kami benarkan perbincangan, kami tidak paksa orang untuk mengikuti garisan tertentu.

“Tidak ada paksaan menyokong Perdana Menteri, kami sedar proses yang berlaku. Kami bukan dalam keadaan terdesak utuk menukar kerajaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah bertemu dengan Najib bagi menyerahkan ‘Deklarasi Kedah’ yang menyatakan sokongan terhadap Najib sebagai Perdana Menteri serta Presiden UMNO.

Deklarasi itu turut mendesak Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin UMNO memecat anggotanya yang terlibat dengan Deklarasi Rakyat yang didakwa bersekongkol dengan pembangkang.

Deklarasi Kedah itu menyusul selepas UMNO Kelantan termasuk Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani Deklarasi Kelantan sebagai sokongan kepada Najib baru-baru ini.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: UMNO Johor Tak Perlu Deklarasi Sokong @NajibRazak Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top