Latest News

Thursday 7 April 2016

Siasatan PAC 1MDB Kurang Memuaskan



KUALA LUMPUR: Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat strategik itu 'kurang memuaskan'.

Dapatan itu menjurus kepada kelemahan tadbir urus syarikat pelaburan negara berkenaan.

Dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, ia antara lain mencadangkan agar siasatan turut dilakukan ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC memberitahu syarikat itu bergantung kepada hutang dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk, sebagai modal syarikat, dengan sebahagian hutang tersebut mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.

"Tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding aliran tunai syarikat.

"Oleh itu, 1MDB bergantung kepada pembiayaan semula sebagai pembayaran balik hutang matang, dan mengambil hutang baharu, antara lain untuk pembayaran faedah hutang sebelumnya," sebut laporan itu.

Tambah laporan berkenaan, model perniagaan 1MDB yang terlalu bergantung kepada pinjaman menyebabkan syarikat tersebut tidak mendapat pendapatan yang cukup untuk membiayai pinjaman serta kos operasinya.

PAC telah memulakan siasatan ke atas 1MDB pada 19 Mei tahun lepas, dan menumpukan kepada pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB sejak diperbadankan pada 2009, lanjutan daripada dana negeri Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu dijadikan agensi pusat.

1MDB memulakan visinya untuk menjadi pemangkin dan perangsang pelaburan langsung asing, selain menjalankan cabang perniagaan berbeza untuk kerajaan.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Siasatan PAC 1MDB Kurang Memuaskan Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top