Selepas Kedah, terdapat desas-desus bahawa Johor akan menjadi negeri seterusnya membuat penukaran menteri besarnya.
Menurut tulisan di laman Facebook Shukur Mohamad - anak kepada Speaker DUN Johor Tan Sri Mohamad Aziz, beliau mendakwa terdapat gerakan untuk menukar Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Malah beliau turut mendakwa, gerakan itu diketuai oleh seorang timbalan menteri yang namanya tidak didedahkan.
"Ada satu gerakan yang sedang dibuat oleh seorang timbalan menteri untuk mencantas menteri besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan).
"Gerakan ini kononnya hendak meletak timbalan menteri ini menjadi menteri besar Johor bagi pihak (Datuk Seri) Najib Razak menjaga dan mengekang ahli Umno Johor," tulisnya.
Selain itu, dalam tulisan berlainan di Facebook, beliau juga mendakwa selain ingin menukar menteri besar, gerakan itu juga merancang untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (bawah, kiri) sebagai ketua Umno bahagian Pagoh.
Dakwanya, terdapat seorang individu yang ditawarkan sejumlah wang bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 20 cawangan Umno bahagian Pagoh untuk menolak bekas timbalan perdana menteri itu sebagai ketua bahagian.
Calar imej
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Shukur berkata gerakan yang ingin menjatuhkan menteri besar Johor itu telah lama dilakukan oleh individu berkenaan.
Dakwa Shukur lagi, gerakan itu juga dibuat untuk mencalar imej Khaled kerana didakwa tidak dapat menyatupadukan ahli Umno di negeri tersebut.
Ditanya siapakah timbalan menteri yang dimaksudkan, Shukur enggan mengulas lanjut dan memberitahu beliau akan mendedahkan perkara tersebut dalam tulisan di Facebook nanti.
"Walhal, menteri besar Johor seorang menteri besar yang terbuka dan bukan jenis angguk, yang terima arahan tanpa berfikir. Saya tak akan benarkan orang usik dia.
"Tulisan saya (di Facebook) itu berangkali. Saya akan tulis lagi mengenai timbalan menteri berkenaan. Umno Johor tak sama dengan Umno lain.
“Kita ini suka berpantun. Dalam marah ada ketawa. Umno Johor tak suka Umno Pusat mengganggu-gugat ketenteraman Umno Johor," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Umno Pagoh mengenai perkara tersebut, beliau memberitahu ketika ini hanya empat cawangan sahaja yang 'bersama' timbalan menteri berkenaan.
"Hanya empat (cawangan) sahaja yang termakan hasutan timbalan menteri itu. Yang lain menolak," katanya.
0 comments:
Post a Comment